sukan

Penang FC bangkit menaiki carta

GEORGETOWN: Penang FC merakam kemenangan bergaya di laman sendiri pada aksi Liga Super musim ini apabila menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Anak buah Akmal Rizal Rakhli membuka akaun jaringan seawal minit ke-12 menerusi tandukan Rodrigo Dias hasil hantaran pemain pertahanan, Fairuz Zakaria.

Sebagai rekod, penyerang import kelahiran Brazil itu baru mencetak dua gol musim ini sejak kali terakhir berbuat demikian pada aksi bertemu PDRM FC, 25 Mei lalu.

Bekas pemain B-23 kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menggandakan kedudukan dengan rembatan derasnya berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-34.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) yang ditayangkan kira-kira 10 minit kemudian mengesahkan gol hantaran 1-2 yang dihasilkan bersama rakan sepasukannya, Dias tidak ofsaid.

Malang terus melanda pasukan pelawat kendalian Park Jae Hong apabila Penang meraih sepakan penalti selepas Fahrurrozi Suhirman menjatuhkan Izzat Zikri.

Kapten tuan rumah, Rafael Vitor menyempurnakan sepakan penalti itu bagi gol ketiga skuad Harimau Kumbang pada minit ke-75 dan pastinya amat bermakna buat pemain dari Brazil itu sempena 100 kali penampilannya bersama Penang.

sumber:-BH

Lebih istimewa, sebanyak 100 poster percuma yang ditandatangani Vitor diedarkan secara percuma di pintu masuk utama Zon A selepas perlawanan dengan seramai 1,543 penonton hadir.