sukan

Penang FC buat kejutan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh

KUANTAN: Penang FC layak ke suku akhir Piala FA apabila menewaskan Sri Pahang FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa tambahan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Kemenangan itu jelas menggembirakan skuad Harimau Kumbang selepas mendahului 1-0 pada separuh masa pertama sebelum skuad Tok Gajah menyamakan kedudukan 1-1 pada babak kedua.

Pada perlawanan itu, Penang bermula baik pada minit ke-37 menerusi cubaan Muhammad Nabil Ahmad Latpi namun bola tendangannya melambung melepasi palang.

Selang dua minit, Muhammad Nabil menebus kesilapan apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin.

Sebelum itu, jaringan itu dikatakan batal kerana offsaid tetapi selepas melihat rakan Video Bantuan Pengadil (VAR), gol itu disahkan pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir.

Ketinggalan 0-1, skuad kendalian Fandi Ahmad berusaha untuk mencari gol penyamaan tetapi terpaksa akur keputusan itu kekal bagi tempoh 45 minit perlawanan.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli menggandakan asakan ke kubu tuan rumah untuk menambahkan jaringan namun jentera pertahanan diketuai kapten pasukan, Fadhli Shas kekal bertahan.

Penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman akhirnya tewas hasil jaringan pemain gantian, Mykola Ahapov selepas menerima hantaran Manuel Hidalgo pada minit ke-78 untuk kedudukan 1-1.

Keputusan 1-1 sepanjang tempoh 90 minit perlawanan mengheret perlawanan ke masa tambahan namun tiada jaringan dan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

sumber:-BH

Penang akhirnya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Sri Pahang 4-3.