sukan

Penang FC fokus raih tiga mata di Alor Setar

GEORGETOWN: Penang FC meraih tonik semangat selepas menewaskan kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC, 4-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Keputusan itu turut memperlihatkan impak positif kepulangan pemain kebangsaan, Syamer Kutty Abba dan Adib Ra’op dari saingan Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 demi membantu mengekalkan momentum pasukan untuk baki dua lagi perlawanan bulan ini.

Pengendalinya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, setiap perlawanan adalah penting apatah lagi skuad Harimau Kumbang bakal berentap dengan pasukan tetangga Kedah Darul Aman FC (KDA FC), menjelang saingan Liga Super, Rabu depan.

“Alhamdulillah syukur atas kemenangan ini. Memang kita dapat apa yang kita mahu. Saya harap dengan dua kemenangan berturut-turut dapat memberi tonik atau semangat untuk menghadapi perlawanan di Alor Setar, Kedah nanti.

“Saya lebih suka untuk tekankan kepada pasukan, fokus kepada perlawanan demi perlawanan. Bagi Penang sekarang ini, setiap perlawanan adalah penting terutama dalam liga di mana kita perlu untuk terus mendaki,” kata Wan Rohaimi.

Wan Rohaimi berkata, Skuad Harimau Kumbang dijadual mengharungi lima perlawanan sepanjang Disember ini dan berharap semua pemain dapat mengekalkan kecergasan.

“Insya-Allah saya berharap dengan keputusan dua perlawanan ini dapat memberi semangat luar biasa untuk kita mendapat kemenangan di tempat lawan (Stadium Darul Aman) selepas itu kita akan bertemu sekali lagi dengan PT Athletic dan menggunakan pemain yang ada untuk mengimbangi perlawanan.

sumber:- BH

“Cumanya, daripada segi kecederaan saya belum periksa lagi dengan doktor pasukan saya harap tiada pemain-pemain saya yang cedera. Saya harap baki tiga, empat hari lagi sebelum kita bertandang ke Alor Setar pemain saya bersedia 100 peratus mental dan fizikal,” katanya.