sukan

Penang FC tiada ‘mesin gol’

KUALA LUMPUR: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui ketiadaan ‘mesin gol’ menyebabkan mereka bergelut di hadapan gol dan gagal menyudahkan peluang yang terhidang untuk membantu mereka mendapatkan keputusan yang lebih positif.

Jelasnya, dia berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan anak buahnya selepas mengendalikan pasukan itu dalam tempoh lebih tiga bulan namun faktor ketiadaan penjaring prolifik jelas menjadi kelemahan terbesar skuad ‘Harimau Kumbang’ ketika ini.

“Kita nampak momentum graf daripada perlawanan ke perlawanan cuma kita tiada mesin gol untuk sudahkan peluang. Kita banyak mencipta peluang dalam setiap perlawanan dan seperti perlawanan malam ini (menentang Selangor FC), kita ada empat ke lima peluang.

“Tetapi inilah bola sepak kerana jika kita bermain bagus mana sekalipun tetapi kalau tidak menjaringkan gol, kita tidak akan menang.

“Saya harap barisan pemain dapat terus bekerja keras untuk pertajamkan lagi barisan hadapan pasukan ini,” katanya.

Terdahulu, impian Penang FC untuk bangkit selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama tidak kesampaian apabila tewas dengan keputusan sama pada aksi kedua sekali gus membolehkan SFC melangkah ke final Piala Cabaran MFL.

Wan Rohaimi menganggap perbezaan kualiti antara barisan pemainnya dan juga pemain SFC menjadi pemisah namun dia tetap berbangga dengan apa ditunjukkan oleh pemainnya pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

“Kita akui perbezaan kualiti di mana SFC dibarisi pemain bintang tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan semangat juang kami. Jadi saya harapkan momentum ini diteruskan untuk baki aksi liga supaya kita dapat memperbaiki kedudukan liga.

sumber:-BH

“Kita dapat menyaingi SFC tetapi dengan kesilapan kecil yang berlaku, kita dihukum dengan perbezaan kualiti yang ada pada SFC,” katanya.