Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari, akhirnya kembali menyarung jersi kebangsaan selepas hampir dua tahun bergelut dengan kecederaan yang menjejaskan kariernya. Nama Syahmi kembali berada dalam senarai skuad Harimau Malaya apabila ketua jurulatih, Peter Cklamovski, mengumumkan panggilan rasmi menjelang aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Selasa depan.
Syahmi, yang turut ditemani rakan sepasukan Feroz Baharudin sebagai muka baharu dalam senarai kali ini, meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan. “Memang rasa bersyukur dan rezeki saya lah dapat kembali bersama skuad kebangsaan selepas lebih daripada dua tahun. Ini waktu dan peluang terbaik buat saya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Pemain berusia 28 tahun itu sebelum ini berdepan detik sukar apabila mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), sekali gus memaksanya menamatkan kempen Liga Super 2024/25 lebih awal. Syahmi terpaksa menjalani pembedahan di Sepanyol dan melalui proses pemulihan panjang sebelum kembali pulih sepenuhnya. Kini, dengan semangat baharu dan fizikal yang semakin mantap, beliau bersedia untuk kembali memberi sumbangan kepada skuad negara.
Kepulangan Syahmi bukan sahaja memberi pilihan tambahan kepada Cklamovski di barisan pertahanan, tetapi juga membawa pengalaman dan ketenangan yang diperlukan dalam perlawanan berprofil tinggi. Aksi menentang Vietnam bakal menjadi ujian sebenar buat Syahmi untuk membuktikan bahawa beliau masih relevan dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Bagi penyokong Harimau Malaya, kemunculan semula Syahmi adalah simbol kebangkitan seorang pemain yang tidak pernah menyerah kepada takdir kecederaan. Ia juga menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan dan generasi muda bahawa dengan disiplin dan ketabahan, peluang kedua sentiasa ada untuk mereka yang berjuang.