LONDON: Bekas pengadil Liga Perdana Inggeris, David Coote memohon maaf kerana tindakan yang menjurus kepada pemecatannya oleh badan pengadil bola sepak Inggeris PGMOL bulan lalu, menyatakan tekanan tugas dan bimbang dianiaya kerana jantinanya mencetus kelakuannya itu.
Coote dipecat selepas digantung tugas pada November lalu susulan video yang tular di media sosial menunjukkan beliau didakwa mengecam Liverpool dan bekas pengurus mereka Jurgen Klopp.
Coote, 42, yang mengadili lebih 100 perlawanan liga utama berkata, ketakutan untuk menjadi gay menyebabkannya mengambil dadah dan menambah beliau “tidak sedar” ketika video itu diambil.
“Saya ingin meminta maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan tindakan saya… anda boleh tahu melalui video itu saya tidak sedarkan diri,” kata Coote kepada The Sun dalam temu bual yang disiarkan kelmarin.
“Saya menerima penderaan yang amat tidak menyenangkan semasa karier saya sebagai seorang pengadil dan untuk menambah seksualiti saya terhadap perkara itu adalah amat sukar.
“Seksualiti bukanlah satu-satunya sebab saya berada dalam kedudukan itu. Tetapi saya tidak menceritakan kisah autentik jika saya tidak mengatakan saya seorang gay dan saya bergelut untuk menyembunyikannya.
“Saya menyembunyikan emosi saya sebagai pengadil muda dan saya menyembunyikan seksualiti saya juga, kualiti yang baik sebagai pengadil tetapi kualiti yang mengerikan sebagai manusia.”
Coote digantung oleh PGMOL pada 11 November lalu dan kontroversi itu semakin meluas beberapa hari kemudian apabila The Sun menyiarkan video mendakwa beliau menyedut serbuk putih ketika mengadili pada Euro 2024, mencetus satu siasatan baharu UEFA.
Coote, yang turut bertugas pada Sukan Olimpik tahun lalu berkata, beliau berada “di tempat gelap” sejak video itu disiarkan ketika bergelut dengan tekanan susulan bebanan kerjanya. – REUTERS