sukan

Pengadil final Piala Dunia pertahankan Messi

Pengadil final Piala Dunia, Slavko Vincic mempertahankan Lionel Messi daripada dakwaan menggunakan taktik tidak beretika ketika Argentina tewas 1-0 kepada Sepanyol pada aksi final.

Argentina menerima kecaman susulan corak permainan agresif yang dipamerkan, sebelum Ferran Torres menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan sekali gus menghadiahkan gelaran Piala Dunia kedua dalam sejarah kepada Sepanyol.

Messi pula dikritik selepas dilihat cuba mempengaruhi pengadil supaya melayangkan kad merah kepada Marc Cucurella apabila pertahanan kiri Sepanyol itu bercakap dengan tangan menutupi mulutnya, tindakan yang sebelum ini menyebabkan pemain Paraguay, Miguel Almiron, dibuang padang pada kejohanan sama.

Namun, pengadil dari Slovenia itu menegaskan Messi menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan, berbeza dengan beberapa rakan sepasukannya.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Messi menunjukkan semangat kesukanan yang amat tinggi,” kata Vincic.

Vincic, yang mengumumkan persaraannya selepas Piala Dunia, turut mengakui cabaran terbesar adalah mengawal emosi pemain sepanjang aksi final.

Argentina kini berdepan tindakan disiplin FIFA susulan pergaduhan yang tercetus sejurus tamat perlawanan menentang Sepanyol.

Leandro Paredes, Nahuel Molina dan penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala, yang menumbuk pemain tengah Sepanyol Dani Olmo, antara individu yang sudah didakwa.

“Tekanannya sangat besar kerana seluruh kerjaya saya sebagai pengadil seolah-olah tertumpu kepada satu perlawanan ini.

“Tetapi saya tahu tugas utama ialah mengawal perlawanan, sama ada menghentikan permainan pada masa yang tepat atau membiarkan aksi diteruskan.

“Cabaran terbesar ialah mengawal emosi pemain. Ini final Piala Dunia, jadi cara mereka berfikir dan bertindak memang berbeza.

“Namun, dengan mengambil kira betapa pentingnya perlawanan ini, kami perlu memahami semua itu. Cabaran sebenar ialah menguruskan segala-galanya sepanjang perlawanan.

“Kami mengkaji karakter pemain, apa yang mereka lakukan ketika rehat dan siapa yang paling kerap melakukan kekasaran.

“Sudah tentu mustahil untuk membuat persiapan yang sempurna.

“Setiap perlawanan mempunyai jalan ceritanya sendiri dan dalam situasi itu anda cuba melakukan tugas sebaik mungkin.

“Pada masa sama, anda perlu menentukan sama ada memulakan dengan amaran atau terus melayangkan kad.

“Semuanya menjadi satu bentuk tindak balas automatik hasil pengalaman sepanjang kerjaya. Ada masanya keputusan menjadi, ada kalanya tidak.

“Selepas wisel penamat, kami tidak lagi menjadi tumpuan, dan itu menunjukkan kami secara keseluruhannya telah menjalankan tugas dengan baik.

“Saya percaya strategi pengadilan yang digunakan adalah tepat,” katanya. – AGENSI