sukan

Pengarah KL Rovers FC umum calon sesuai untuk mengemudi KLFA

KUALA LUMPUR: Beberapa calon bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) semakin hangat dicanang menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan itu yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Terbaharu, Pengarah KL Rovers FC Sdn Bhd, Ashraf Mazlan menganggap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh sebagai calon sesuai untuk mengemudi KLFA.

Ashraf turut mencadangkan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa diangkat sebagai penaung KLFA.

“Kita tidak mahu melihat badan sukan ini menjadi tempat ‘self branding’ dan ‘photo op’ kepada sesetengah ahli politik sahaja dan ditinggalkan di saat pasukan atau kelab di bebani hutang yang banyak.

“Adakah mereka tahu mengenai hutang piutang yang harus ditangggung dan apakah arah tuju persatuan untuk merancang bagi menyelesaikan masalah yang sedia ada?. Persoalan ini harus di ambil berat kepada sesiapa sahaja yang mahu menerajui KLFA.

“Bagi saya sendiri, Datuk Bandar adalah calon yang sesuai untuk diangkat sebagai presiden yang baharu bagi mentadbir persatuan itu dengan berbekalkan pengalaman yang luas dalam pengurusan dan dasar.

“Menteri Wilayah Persekutuan pula menjadi penaung KLFA sebagai ‘check and balance’ kepada KLFA. Kita tidak mahu piala yang dimiliki hanya gah pada dada akhbar untuk sesuatu musim sahaja,” katanya.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad melepaskan jawatan itu pada Mac lalu.

Selain itu, Ashraf menjelaskan beliau terpanggil untuk memberi pandangan selepas melihat ketidakstabilan situasi pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City dan KLFA serta teka-teki siapakah calon presiden persatuan itu.

Beliau berkata, semua pihak harus melihat dari sudut tatakelola persatuan atau kelab dan perancangan jangka panjang bagi mengelak masalah kewangan seperti yang dihadapi KL City ketika ini.

Katanya, penyokong ketika ini sudah di landasan betul dan sanggup menjadi pemain ke-12 yang penuh setia dan jangan kerana kerakusan serta ketidaktentuan pengurusan akan menghilang kepecayaan mereka.

“CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) kelab seharusnya membuat perancangan untuk jangka masa panjang. Pertama dari segi menjana pendapatan, pengukuhan kewangan dan pembangunan. Bukan hanya ‘spend’ ikut selera sendiri.

“Kuala Lumpur tidak asing lagi dengan lubuk ‘talent material’ yang sangat ramai dan kita tidak seharusnya hanya membazir dan menanggung sesuatu pasukan sahaja.

sumber:-BH

“Janganlah kita melihat pasukan lain yang gah berbelanja dan kita lupa untuk mengukur baju di badan sendiri, akibatnya seluruh pasukan menjadi mangsa,” katanya.