LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu bersolidariti dengan Selangor FC tidak mengenakan hukuman kepada pasukan itu selepas menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada Jumaat lalu.
Pemerhati bola sepak tempatan, Azlan Johar berkata, MFL selaku badan pengelola liga perlu mempunyai toleransi dan timbang rasa apatah lagi insiden yang membabitkan pemain sayap Selangor, Faisal Halim di luar jangkaan.
Menurutnya, tiada mana-mana pasukan dalam dunia ini yang sewenang-wenangnya mahu menarik diri dan percaya skuad Gergasi Merah itu terpaksa membuat keputusan sukar itu demi keselamatan pasukan.
“Dalam sukan ini baik daripada pasukan atau pengurusan liga, perlu ada toleransi. Kalau MFL ini sebagai satu badan yang disegani memimpin atau menerajui satu pertubahan yang besar, harus menunjukkan simpati kepada apa yang telah Selangor hadapi.
“Jika mereka bersikap bertimbang rasa yang tinggi tidak mengenakan hukuman, saya rasa semua peminat bola sepak pastinya bersetuju dengan tindakan MFL itu.
“Sudah tentu ada juga yang tidak bersetuju, tetapi perkara yang berlaku kepada Selangor ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Sebelum ini, Selangor FC telah membuat permohonan kepada MFL untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden Faisal yang disimbah asid selain ugutan diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.
sumber:-SH
Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira insiden tersebut selain ancaman yang berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan itu.