JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pasukan keduanya ketika menewaskan UM Damansara United 5-3.
Pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA itu, UM Damansara United berjaya membolosi gawang Harimau Selatan tiga tiga kali di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, walaupun ada kesilapan mudah yang dilakukan sehingga gawang dibolosi, ia tidak mematahkan semangat pemain untuk memburu jaringan.
Katanya, perlawanan itu juga menjadi medan bagi menguji kapasiti skuad Harimau Selatan dengan menurunkan kesebelasan utama yang berbeza pada perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu.
“Saya menurunkan skuad yang berbeza ketika menentang FC Machida Zelvia untuk menguji kapasiti skuad JDT. Pada 25 minit pertama, mereka beraksi dengan baik dan berjaya menjaringkan tiga gol.
“Selepas itu, mereka mula bermain sedikit perlahan dan mula terlepas beberapa peluang menjaringkan gol selain kurang melakukan tekanan seperti yang dilakukan awalnya.
“Masuk babak kedua, kita tampil dengan taktikal dan pendekatan yang berbeza selain mencuba pemain muda termasuk daripada JDT II. Apa pun, yang penting di sini kita berjaya meraih kemenangan dan melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Munoz.
Pada perlawanan itu, Romel Morales menjaringkan hatrik menerusi gol pada minit ketiga, m-70 dan 94 manakala Manuel Hidalgo pada minit kelapan dan Heberty Fernandes pada minit ke-15.
Skuad kendalian Ridzuan Abu Shah pula merobek gawang JDT menerusi Thankgod Michael pada minit ke-62 dan Anuar Ceesay pada minit ke-66 dan 74.
Munoz bagaimanapun kecewa kerana gawang pasukannya dibolosi tiga kali dan situasi itu tidak harus berlaku apabila beraksi di laman sendiri.
“Salah satu gol yang dilepaskan pada perlawanan itu berpunca daripada kesilapan mudah penjaga gol, Christian (Abad). Melakukan kesilapan di atas padang adalah lumrah permainan, dan kita perlu belajar daripadanya untuk tidak lagi mengulangi kesilapan berkenaan.
“Tidak dinafikan beraksi dengan skuad pertama, tekanannya berbeza dan saya tahu kualiti yang ada pada Christian. Dalam situasi seperti ini, jurulatih perlu memberi sokongan moral dan keyakinan buatnya untuk menjadi lebih baik dan beraksi penuh keyakinan,” katanya.
Ditanya mengenai aksi suku akhir Piala FA menentang Penang FC, Munoz menjangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit dan akan membuat persiapan rapi bagi menghadapinya.
“Walaupun kita menang besar ke atas mereka bulan lalu dalam aksi Liga Super, ini adalah perlawanan berbeza. Kita tidak boleh ambil mudah,” tambahnya.