sukan

Pengendali Selangor FC lega seri lawan KL City

Kuala Lumpur: Pengendali sementara Selangor FC, Christophe Gamel akui lega apabila anak buahnya berjaya mengelak daripada kekalahan selepas terikat tanpa jaringan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas Gamel, kejayaan mengutip satu mata dianggap lebih berharga berbanding pulang tangan kosong, di mana KL City FC ketika ini berada pada prestasi terbaik.

Katanya, walaupun hasrat untuk memungut mata penuh tidak kesampaian namun kekuatan mental diperagakan pemainnya menjadi kunci kejayaan mengikat pelawat yang kini berada di tangga kedua Liga Super.

“Sekurang-kurangnya ia positif, kerana kami membawa satu mata. Saya suka tekankan, pemain menunjukkan reaksi yang baik dengan kekuatan mental yang kuat supaya kita tidak keciciran mata.

“Jika kita hilang mata, sudah tentu mental pemain akan hilang dan ia boleh memberi kesan kepada motivasi pasukan secara keseluruhan,” katanya selepas aksi itu.

Dalam aksi berkenaan, kedua-dua pasukan buntu memecah kebuntuan dengan masing-masing memiliki peluang untuk mencatat kemenangan.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad Red Giants kekal di tangga ke tujuh liga dengan mengumpul 10 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan setakat ini.

Ujar Gamel lagi, beliau berharap selepas ini jentera serangannya agar tampil lebih tajam di depan gawang gol lawan.

“Kamu dapat lihat, penyerang kita kadang kala memerlukan masa agak lama untuk membuat percubaan ke arah gawang gol. Saya harap masalah itu dapat diatasi,” katanya.