KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi ujian sukar apabila menentang pasukan ranking 98 dunia, Palestin dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Berdepan pasukan ranking lebih tinggi, Malaysia yang berada di tangga 125 dunia perlu menampilkan skuad terbaik apatah lagi Harimau Malaya akan beraksi tanpa kapten, Dion Cools dan Facundo Garces yang kembali ke pangkuan kelab masing-masing selepas pertembungan dengan Singapura, Khamis lalu.
Justeru, siapa pilihan ketua jurulatih, Peter Cklamovski bagi menggantikan tempat dua ‘kereta kebal’ itu menjadi antara perkara paling dinantikan peminat terutama dengan reputasi besar Cools dan Garces yang dianggap sebagai ‘orang penting’ di bahagian pertahanan.
Malah, ketiadaan mereka boleh dikatakan kehilangan besar buat Harimau Malaya untuk berdepan Palestin selepas kedua-duanya memainkan peranan penting termasuk ketika menundukkan Vietnam 4-0 dan Singapura 2-1.
Berdasarkan senarai tonggak pertahanan dalam skuad ketika ini, pemain warisan yang kali pertama menyertai Harimau Malaya, Richard Chin menjadi antara calon berpotensi untuk mengisi salah satu daripada kekosongan itu.
Selain pemain Raith Rovers itu, beberapa lagi bintang yang berada dalam senarai boleh menjadi pilihan Cklamovski termasuk tonggak berpengalaman Shahrul Saad, Dominic Tan dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Siapa pun yang akan menjadi pilihan Cklamovski, pemain itu harus bersedia sepenuhnya untuk menggalas tugas berat dalam mengekang jentera serangan Palestin yang dijangka tampil dengan corak permainan agresif.
Jika mengambil kira rekod pertemuan sebelum ini, Palestin bukan calang-calang pasukan apabila mereka meraih kemenangan besar 6-0 ke atas Malaysia dalam kedua-dua aksi ketika kempen kelayakan Piala Dunia pada 2015.
Namun, itu cerita 10 tahun dahulu dan kedua-dua pasukan ketika ini pasti sudah berbeza terutama Harimau Malaya yang diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan selain taktikal berkesan yang direncanakan Cklamovski.
Selain mengenai pengganti Cools dan Garces, kelibat penyerang Rodrigo Holgado yang tidak beraksi ketika menentang Singapura juga menjadi tumpuan peminat dengan dia dijangka akan diberikan peranan sebagai penggempur utama berdepan Palestin.
Holgado yang bergandingan dengan seorang lagi pemain warisan, Joao Figueiredo mencetuskan fenomena apabila penampilan pertama mereka bersama Harimau Malaya pada 10 Jun lalu berjaya membantu skuad negara meraih kemenangan besar ke atas Vietnam, sekali gus menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Naga Emas.
Sementara itu, posisi penjaga gol juga berpotensi mengalami perubahan selepas Haziq Nadzli diberi tanggungjawab mengawal gawang Harimau Malaya ketika berdepan Singapura yang mana tempat itu sebelum ini kerap diisi Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, ia mungkin memberi kelebihan buat Ahmad Syihan untuk kembali ke posisi itu dengan dia sudah ‘masak’ dengan gelanggang berkenaan sepanjang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun Haziq juga pernah berada dalam skuad Harimau Selatan sebelum ini.
“Semua orang ada kelebihan, hanya tunggu masa diberikan peluang dan buat yang terbaik. Perasaan terkejut (diletak sebagai penjaga gol utama berdepan Singapura) dan teruja juga sebab semua orang nak berada dalam kesebelasan utama. Jurulatih percayakan saya, jadi saya hanya balas kepercayaan yang diberikan,” kata Haziq.
Rekod pertemuan
• 11 Mac 2001 Palestin 1 Malaysia 0
• 25 Mac 2001 Palestin 3 Malaysia 4
• 26 Mac 2013 Malaysia 0 Palestin 2
• 16 Jun 2015 Malaysia 0 Palestin 6
• 12 November 2015 Palestin 6 Malaysia 0