sukan

Penggempur Harimau Malaya tambah sengat JDT

OHOR Darul Ta’zim (JDT) terus bergerak lebih laju berbanding pencabar lain dalam Liga Malaysia (Liga M) apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain warisan gred A Harimau Malaya, Joao Figueiredo.

Penghijrahan Figueiredo yang juga bekas pemain kelab Turki, Basaksehir itu bakal memperkukuhkan Harimau Selatan di jentera serangan apabila JDT sudah pun memiliki bintang sensasi seperti Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi.

“Joao Figueiredo membawa komitmen dan keazaman ke Johor Darul Ta’zim FC,” menurut ciapan JDT di laman Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.

Kehadiran pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil itu kini menjadi pemain warisan baharu ketiga yang menyertai JDT selepas penyertaan pemain pertahanan, Jon Irazabal dan pemain tengah, Hector Hevel.

Berdasarkan data Transfermarkt.com, statistik menunjukkan Figueiredo adalah seorang pemain yang memiliki kualiti baik, mencatatkan 102 penampilan dan mencetak 24 gol selain turut menyumbang 4 bantuan gol.

Langkah membawa masuk pemain yang memiliki pengalaman luas di pentas pertandingan di Brazil, Asia dan Eropah ini menggambarkan kemahuan besar Harimau Selatan untuk bersaing di pentas tertinggi khususnya di saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia menjelaskan kelab itu meletakkan sasaran untuk mara secara konsisten ke peringkat lebih jauh di ACLE dan mengintai peluang layak ke Piala Dunia Kelab.