sukan

Penghujung Julai bakal menjadi ‘hiburan baharu’ penyokong bola sepak tempatan

KUALA LUMPUR: Saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 yang dijadual membuka tirainya pada penghujung Julai depan bakal menjadi ‘hiburan baharu’ untuk disajikan buat penyokong bola sepak tempatan.

Mana tidaknya, saingan liga semi profesional yang kini secara tidak rasminya menjadi saingan divisyen kedua bola sepak domestik selepas pertandingan Liga Super itu dilihat mampu ‘meletup’ selepas 16 pasukan mengesahkan penyertaan bagi musim baharu nanti.

Justeru, tidak mustahil seandainya kemeriahan dan juga sambutan hangat untuk saingan yang dikelolakan Liga Bolasepak Amatur (AFL) itu dapat menyamai sekali gus setaraf dengan kemeriahan dirasai bagi saingan Liga Super musim 2025/26.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengakui kemeriahan bagi saingan Liga A1 Semi-Pro mula dirasai selepas kehadiran beberapa pasukan negeri dan juga pasukan berasaskan nama tempat pada musim ini.

Jelasnya, beliau melihat penyertaan pasukan yang membawa nama negeri itu turut mengimbau kembali saingan bola sepak pada zaman dahulu dan faktor ini dapat menarik minat penyokong untuk datang.

“Saya rasa ‘hype’ itu datang dengan adanya pasukan negeri selain tarikan itu memang lebih kepada pasukan komuniti. Daripada awal kita membuka permohonan pun, kita sudah jangkakan Liga A1 Semi Pro musim baharu ini akan meriah kerana kita mendapat 25 ke 26 permohonan.

“Selain itu, kita tengok Liga A1 Semi-Pro ini adalah liga semi profesional dan dalam satu pasukan yang ditubuhkan itu, bukan semuanya pemain berstastus profesional dan ada dalam kalangan mereka yang membuat kerja lain.

“Setiap pasukan perlu ada minimum 10 pemain berstatus profesional, manakala selebihnya terpulang kepada pasukan untuk mengambil pemain secara profesional ataupun amatur,” kata Raimi kepada BH Sukan.

Selain itu, Raimi turut melihat saingan Liga A1 Semi-Pro itu juga mampu menarik minat penyokong memandangkan mereka menjadi platform kepada ‘ubi muda’ untuk mengetengahkan bakat mereka selepas ketiadaan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim baharu nanti.

“Satu lagi tarikan bagi tahun ini adalah AFL menyahut cadangan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewajibkan pendaftaran bagi pemain berusia bawah 23 tahun (B-23).

“Kita menyokong pembangunan pemain yang sebelum ini beraksi di Piala MFL dan kita berkongsi sedikit tanggungjawab untuk membangunkan pemain,” katanya.

Sebagai rekod, 16 pasukan sah menyertai Liga A1 Semi=Pro 2025/26 iaitu Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.

Turut sama Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

sumber:- BH

Selain itu, empat pasukan yang turut akan berentap dalam kancah semi profesional itu adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC), UM-Damansara United serta pasukan dari Korea Selatan, FC Seoul Phoenix.