sukan

Pengurus pasukan B-17 negara sah

KUALA LUMPUR: Christopher Raj mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengurus pasukan bawah 17 (B-17) tahun negara dengan serta merta susulan kegagalan skuad itu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025.

Skuad kendalian Javier Jorda Ribera gagal melepasi kempen kelayakan apabila hanya meraih satu mata selepas terikat 2-2 dengan Laos di Stadium Nasional Lao KM 16, Vientiane, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi pertama, Rabu lalu menamatkan saingan Kumpulan H di kedudukan kedua.

Christopher menjelaskan tindakan melepaskan jawatan itu adalah jalan terbaik untuk membuka peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi hingga mencapai misi ke Piala Dunia.

Beliau yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kegagalan itu amat pahit untuk ditelan dan menyedihkan apatah lagi tidak dapat mengulangi kejayaan tahun lalu yang mana skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin atas peluang, sokongan dan pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang berkhidmat sebagai pengurus pasukan B-17.

“Saya amat menghargai segala peluang yang diberikan dan pengalaman berkhidmat untuk negara adalah sesuatu yang amat membanggakan yang tidak mungkin akan dapat saya lupakan.

“Jutaan terima kasih kepada semua pemain terutama ibu bapa pemain yang banyak berkorban memberi sokongan sebagai pemain ke-12 di Laos dan juga dalam semua perlawanan pasukan kebangsaan B-17 sepanjang saya berkhidmat.

“Terima kasih kepada Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnel dan juga Pengarah Teknikal NFDP, Oscar Francisco Gonzalez. Tidak lupa juga terima kasih buat jurulatih, Javier Jorda Ribera dan semua pegawai kejurulatihan B-17 serta semua pihak yang membantu kami.

“Meskipun diakui masih banyak yang perlu pasukan perbaiki tetapi saya yakin muka baharu yang menggantikan tempat saya nanti mampu menjalankan tanggungjawab lebih baik,” katanya.

sumber:-BH

Hanya 10 juara setiap kumpulan dan lima naib juara terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2025.