KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membayar gaji bekas pemain importnya musim lalu.
Sebaliknya pihak pengurusan TFC menjelaskan pihaknya sudah membuat pembayaran kepada pemain berkenaan sebelum badan induk dunia itu mengenakan hukuman kepada kelab berkenaan.
Terdahulu TFC menjadi pasukan terbaharu berdepan sekatan perpindahan pemain selepas FIFA mengenakan hukuman berkenaan Jumaat lalu.
Lebih parah, sekatan itu membabitkan tiga jendela perpindahan sekali gus menyaksikan skuad Penyu tidak dapat ‘mengikat’ pemain import dan tempatan yang baharu pada Januari depan.
Difahamkan pemain yang mengemukakan tuntutan berkenaan ialah bekas penyerang import TFC musim lalu, Ivan Mamut dari Croatia.
Menerusi kenyataan media pengurusan TFC hari ini, kelab berkenaan menjelaskan sudah menjalankan tanggungjawab secara profesional dengan mematuhi prosedur perundangan bola sepak antarabangsa.
“TFC telah membuat pembayaran kepada pemain import pada musim lalu lebih awal sebelum FIFA mengeluarkan keputusan rasmi, tindakan ini diambil sebagai komitmen kelab untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan cepat dan teratur.
“Sehubungan itu, pihak kelab telah menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi memaklumkan pembayaran yang telah dilakukan dan pada masa sama menunggu maklum balas secara rasmi daripada FIFA,” ujar kenyataan itu.