sukan

Pentas ‘kuda tua’ JDT bukti kehebatan

JOHOR BAHRU: Tiga import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) – Alvaro Gonzales, Jonathan Viera dan Roque Mesa – harus membuktikan mereka bukan ‘kuda tua’ sebarangan apabila turun dalam aksi wajib menang menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada aksi Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Lagipun, aksi Stadium Central Coast, di Gosford, New South Wales, Australia, petang esok dilabel perlawanan wajib menang buat JDT dalam misi melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.

Walaupun masih baharu bersama pasukan tetapi berdasarkan pengalaman luas mereka di peringkat kelab dan antarabangsa, trio dari Sepanyol itu dijangka tidak mempunyai masalah membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan baharu.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio mengesahkan tidak dapat menggunakan khidmat Murilo Henrique, Juan Muniz dan Park Jun Heong yang digantung permainan namun kehadiran rekrut baharu itu bakal menguatkan skuad Harimau Selatan.

“Saya tidak nafikan agak suntuk untuk Alvaro, Jonathan dan Roque memahami falsafah permainan JDT tetapi kami mengadakan perbincangan bagi memastikan ketiga-tiga selesa beraksi dengan taktikal yang diterapkan,” katanya.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Bidoglio mengakui skuad kendaliannya bakal menghadapi misi mencabar menentang skuad kendalian Mark Jackson yang memiliki barisan pemain hebat ditambah pula pengalaman mereka bermain di Liga A Australia yang dianggap antara liga terbaik di rantau Asia.

“Ia perlawanan penting bagi JDT dan tidak dinafikan Central Coast Mariners adalah pasukan kuat yang dibarisi pemain muda malah mereka gemar bermain secara pantas dan menggunakan fizikal.

“Apapun, kami perlu persiapkan diri dan memberi fokus kepada perancangan taktikal yang lebih ampuh kerana kemenangan menjadi misi utama untuk berada di kelompok lapan pasukan terbaik dalam Kumpulan Zon Timur.

“Saya dan barisan kejurulatihan sudah menonton video permainan Central Coast Mariners dan mereka gemar melakukan `set-piece’ dan kami harus berjaga-jaga agar tidak terperangkap,” katanya.

sumber:-BH

JDT kini berada di tangga keenam selepas mengumpul lapan mata dan perlu menang bagi menjarakkan kedudukan dengan tiga lagi pasukan iaitu Pohang Steelers dari Korea Selatan yang mengumpul sembilan mata manakala Shanghai Port dari China dan Buriram United (Thailand) masing-masing mengumpul lapan mata tetapi dibezakan dengan jaringan gol.