sukan

Penyerang Indonesia tekad mahu hukum Selangor

SELAYANG — Penyerang kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta, tampil penuh keyakinan menjelang pertembungan menentang Selangor FC, apabila melaungkan amaran awal selepas membuka akaun jaringan bersama kelab baharunya, Duli Pengiran Maha Mulia (DPMM), dalam aksi menentang PDRM FC minggu lalu.

Walaupun berjaya menjaringkan satu gol dalam penampilan sulungnya, DPMM gagal mempertahankan kelebihan dua gol dan terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu. Kegagalan itu menjadi titik tolak kepada misi kebangkitan mereka menjelang perlawanan menentang naib juara Liga Super 2023, Selangor FC.

Dalam kenyataan penuh semangat, Sananta mengakui bahawa pertemuan menentang Selangor adalah antara aksi yang paling dinantikan, khususnya kerana berpeluang berdepan Faisal Halim, tonggak utama skuad Merah Kuning.

“Antara salah seorang pemain yang saya tidak sabar untuk lawan adalah Faisal Halim. Ini kali pertama DPMM bakal menentang Selangor dan kami semua sudah bersedia sebaiknya,” katanya.

Sananta turut menyatakan hasrat untuk menambah koleksi jaringan, namun menegaskan bahawa kemenangan pasukan adalah keutamaan. Beliau enggan terlalu memikirkan gol terdahulu bagi mengelakkan tekanan yang tidak perlu.

“Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol lagi, cuma saya tidak mahu ingat jaringan ketika lawan PDRM kerana mahu elak daripada tekanan yang tidak sepatutnya.”

Menurut Sananta, jurulatih DPMM telah melakukan beberapa perubahan taktikal menjelang perlawanan penting ini, khususnya dalam aspek komunikasi dan organisasi pasukan yang dilihat sebagai punca utama kegagalan mengekalkan kelebihan minggu lalu.

“Ada sedikit perubahan taktikal yang jurulatih terapkan untuk malam ini sebab banyak sebenarnya kesilapan tempoh hari, terutamanya daripada segi komunikasi yang kurang.”

Sebagai pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia, DPMM sedar akan cabaran besar yang menanti, namun tetap optimis untuk memperbaiki kelemahan dan tampil lebih tersusun dalam aksi-aksi mendatang.

Di kem Selangor, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi turut berada dalam misi pemulihan selepas tewas dalam Perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT). Kekalahan itu menjadi tamparan awal buat pasukan yang dibarisi pemain berprofil tinggi dan memiliki reputasi sebagai pencabar utama liga.

Pertembungan malam ini bukan sekadar perebutan tiga mata, tetapi juga medan penentu hala tuju awal kedua-dua pasukan dalam kempen Liga Super 2025. DPMM mahu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual, manakala Selangor perlu segera bangkit untuk mengelak tekanan awal musim.