WARSAW: Pemain Poland, Nicola Zalewski meledak gol pada minit ke-90 untuk kemenangan 2-1 ke atas Turkiye dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum Euro 2024.
Kemenangan itu bagaimanapun dibayangi kecederaan yang menimpa penyerangnya, Karol Swiderski dan Robert Lewandowski.
Swiderski membuka jaringan pada minit ke-12, menolak bola di celah kaki penjaga gol Turkiye, Mert Gunok, tetapi ketika meraikan gol, kaki penyerang itu terseliuh dan dia terpaksa dikeluarkan.
“Buku lali Karol terseliuh dan hanya selepas pemeriksaan dilakukan baru kita tahu situasi sebenarnya. Tidak akan ada pertukaran dilakukan,” kata pengendali Poland, Michal Probierz.
Turkiye menyamakan kedudukan pada minit ke-77 dengan dua pemain gantian, Kenan Yildiz membuat umpanan kepada Baris Alper Yilmaz untuk menewaskan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny.
Poland akhirnya kembali mendahului permainan untuk melebarkan deretan tanpa kalah kepada lapan perlawanan apabila larian solo Zalewski menjelmakan jaringan pada minit terakhir.
Poland sebelum ini sudah kehilangan Arkadiusz Milik akibat kecederaan ketika kemenangan 3-1 ke atas Ukraine pada Jumaat.
Peledak prolifik, Lewandowski juga terpaksa dikeluarkan ketika rehat kerana kecederaan, namun ia tidak kelihatan seteruk Swiderski.
Poland berdepan Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan D di Hamburg pada Ahad.
sumber:-BH
Turkiya akan menentang Georgia pada 18 Jun sebelum berdepan Portugal dan Republik Czech dalam saingan Kumpulan F. – REUTERS