IPOH: Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda perlawanan Liga Super antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, malam tadi disambut sorakan kecewa seramai 10,833 penonton.
Lebih menghampakan, ia kali kedua pertembungan skuad Seladang dan Harimau Selatan ditunda susulan hujan lebat selepas perlawanan pertama pada 17 Ogos lalu.
Rata-rata penyokong yang hadir seawal jam 6 petang dilihat sabar menunggu sepak mula yang sepatutnya berlangsung 8.15 malam.
Biarpun komisioner perlawanan menangguhkan sepak mula sebanyak dua kali kepada 8.45 malam dan kemudiannya 9.15 malam, penyokong masih sabar menunggu dan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.
Beberapa kali, suasana stadium digamatkan kedua-kedua belah penyokong melaungkan sorakan ‘MAIN!’ secara berulang-ulang, bertujuan mendesak perlawanan dimulakan segera dan tidak ditangguhkan lagi.
Bagaimanapun, harapan ribuan penyokong itu tidak kesampaian apabila tepat jam 9.50 malam ketika tiada sebarang kelibat pemain kelihatan, MFL secara rasmi mengumumkan perlawanan ditangguhkan atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.
Seorang penyokong JDT, Muhammad Hafiz Ahmad Sohan, 39, berkata beliau berasa kecewa dengan keputusan MFL menunda perlawanan yang ditunggu-tunggu itu.
Hafiz yang berasal dari Batu Pahat membawa isteri dan dua anak terpaksa pulang dengan hati yang hampa.
“Niat saya hendak bawa anak-anak merasa pengalaman aksi di tempat lawan, namun perkara ini terjadi.
“Kami pun tidak tahu apa sebenarnya terjadi, saya lihat tadi hujan sudah berhenti seketika, namun permainan tidak juga bermula.
“Perlawanan asal pada 17 Ogos lalu pun saya ada datang, kali ini pun kami terpaksa balik kecewa,” katanya.
Perkara sama turut dirasai penyokong Perak FC, Syamsul Fedry Abdul Rahman, 37, yang sanggup datang dari Shah Alam semata-mata bagi memberi semangat kepada skuad Seladang.
“Sepanjang saya hadir ke stadium untuk saksikan liga tempatan sebelum ini, boleh dikatakan beberapa kali juga berdepan situasi kecewa disebabkan permainan ditangguhkan.
“Namun, perlawanan kali ini amat dinanti-nantikan kerana sekarang kedudukan Perak FC sedang naik dalam Liga Super selepas kalahkan Negeri Sembilan, Sri Pahang dan KL City.
sumber:-BH
“Jadi kami rasa ada motivasi yang tinggi berdepan JDT, malangnya perlawanan ini ditunda lagi,” katanya yang hadir membawa isteri dan dua anak.