sukan

Penyokong Indonesia gelisah dengan kehadiran Arif Aiman&Bergson

JAKARTA: Nama tonggak Harimau Malaya Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva kini mula menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong serta pemerhati bola sepak Indonesia menjelang pertembungan panas Malaysia dengan skuad Garuda pada aksi Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), esok.

Jika sebelum ini kedua-dua pemain itu lebih dikenali sebagai tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), prestasi mereka ketika membantu Harimau Malaya membelasah Bangladesh 3-0 pada aksi pembukaan kini membuatkan nama mereka mula disebut sebagai antara ancaman utama yang perlu diberi perhatian benteng Indonesia.

Malah, pengulas bola sepak Indonesia dikenali sebagai Jimi Hendri memberi peringatan kepada barisan pertahanan Garuda supaya tidak leka ketika berdepan gandingan berbahaya itu.

Menurutnya, kepantasan Arif Aiman khususnya ketika melakukan larian mampu menjadi senjata penting Harimau Malaya untuk merobek pertahanan Indonesia.

“Apa yang perlu diawasi daripada Arif Aiman adalah kelajuan dan larian dia yang sangat berbahaya. Jangan sampai pertahanan Indonesia ketinggalan.

“Bergson sangat bijak mencari ruang kosong, mempunyai keseimbangan badan (body balance) yang kuat dan rembatan yang sangat akurat (tepat),” katanya.

Arif Aiman bukan sahaja meledak dua gol ketika menentang Bangladesh, malah cara pemain berusia 22 tahun itu melakukan tekanan tinggi sehingga memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan turut menarik perhatian.

Dua peluang yang hadir berjaya disudahkan dengan tenang, sekali gus memberi gambaran bahawa pemain sayap JDT itu bukan sekadar mengharapkan kelajuan, sebaliknya memiliki penyudah yang mampu menghukum setiap kecuaian lawan.

Bergson pula menjadi satu lagi nama yang mula mencetuskan kebimbangan di kem Indonesia selepas penyerang naturalisasi kelahiran Brazil itu membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya dengan menjaringkan gol ketika menentang Bangladesh.

Penyerang berkenaan mempamerkan kawalan bola kemas, pusingan badan pantas dan rembatan padu untuk mencipta jaringan sulungnya bersama skuad kebangsaan, sekali gus mengukuhkan lagi reputasinya sebagai ancaman di kawasan penalti.

Selain itu, rata-rata penyokong Indonesia pula lebih rela pasukannya tewas kepada lawan lain namun bukanlah kepada Malaysia kerana ia dianggap sebagai keputusan yang boleh mencalarkan maruah mereka terutamanya ketika beraksi di Stadium GBK.