KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan memberi ‘hadiah’ kepada penyokong setia pasukan itu apabila mengumumkan kemasukan percuma untuk aksi Liga Super antara pasukan itu menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Jumaat ini.
Perkembangan itu disahkan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar dengan beliau menyatakan penyokong yang memakai jersi original KL City FC akan dibenarkan masuk secara percuma bagi aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu.
Katanya, kemasukan percuma dengan syarat memakai jersi original pasukan adalah untuk mengajak peminat sama-sama membantu kantung kelab selain menghargai sokongan mereka selama ini.
“Saya boleh sahkan perlawanan antara KL City FC dan KDN FC pada Jumaat ini akan diberikan kemasukan percuma kepada penyokong-penyokong KL City FC.
“Tetapi untuk masuk percuma, peminat perlu memakai jersi original dan kakitangan kita akan berada di setiap pintu masuk untuk membuat semakan.
“Kepada penyokong yang masih belum membeli jangan risau, InsyaAllah kita akan berikan potongan harga dan berapa diskaun yang kita berikan, akan dimaklumkan di sosial media kelab dan KLFA.
“Ini salah satu langkah untuk mengajak penyokong KL City FC beramai-ramai menyokong pasukan di stadium, selain ini juga cara bagi menggalakkan penyokong membeli jersi original pasukan sekali gus membantu kewangan kelab,” katanya.
Syed Yazid yang baharu memenangi pemilihan Kongres KLFA kali ke-35 pada Sabtu lalu, tidak menunggu lama apabila terus ‘bekerja’ dengan mengumumkan beberapa inisiatif.
Semalam, KLFA mengeluarkan satu kenyataan media mengumumkan sudah membayar sebulan tunggakan gaji kepada pemain yang dikreditkan semalam.
sumber:-BH
Malah, pembayaran sebahagian caruman KWSP dan PERKESO turut dilakukan selain KLFA memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyalurkan dana sebanyak RM1 juta pada penghujung bulan ini.