Kuala Lumpur: Penyokong bola tempatan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kembali aktif di laman sosial selepas sekian lama ‘menghilang’.
Pemain berdarah Argentina itu mencuri perhatian selepas mengaktifkan semula akaun Instagramnya, selain memuat naik semula semua gambar lama yang sebelum ini ‘disembunyikan’.
Langkah itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini susulan tindakan Holgado ‘menyepi’ daripada media sosial sejak isu membabitkan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mula diperkatakan.
Antara teori yang tersebar termasuk dakwaan kononnya pemain itu tertekan dengan situasi semasa atau kecewa susulan kontroversi berkenaan.
Namun, perkembangan terbaharu menunjukkan sinar positif apabila Holgado bukan sekadar kembali aktif, malah turut memuat naik gambar terkininya bersama skuad Harimau Malaya.
Lebih menarik, Holgado juga menukar gambar profil baharu yang memaparkan wajahnya sedang tersenyum seolah-olah memberi isyarat bahawa semangatnya sudah kembali pulih.
Langkah kecil itu ternyata menggembirakan penyokong setia Harimau Malaya yang menganggap ia sebagai tanda positif terhadap kestabilan emosi pemain berusia 29 tahun itu.
“Sekurang-kurangnya, kami tahu dia okey dan masih bersama pasukan. Harap semuanya selesai segera,” tulis seorang penyokong di ruang komen.
Kini, tumpuan peminat terarah kepada perkembangan lanjut kes FIFA yang membabitkan tujuh pemain warisan termasuk Holgado, dengan harapan isu itu dapat diselesaikan segera.
Pada masa sama, penyokong turut berharap agar penyerang berbisa itu dapat kembali memperagakan aksi di padang secepat mungkin bagi memperkuat cabaran Harimau Malaya dalam kempen akan datang.