sukan

Penyokong luar terpegun lihat aksi atlet negara

KUALA LUMPUR: Barisan pemain badminton negara tidak ‘keseorangan’ beraksi di Olimpik Paris apabila mendapat sokongan padu peminat dari rantau Eropah.

Pemain-pemain badminton negara seakan beraksi di laman sendiri apabila mendapat sokongan padu peminat Eropah yang terpesona melihat aksi lincah dipamerkan wakil Malaysia.

Situasi terbabit dapat dilihat pada aksi pertama Malaysia membabitkan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah selepas berjaya menghidupkan peluang mereka ke suku akhir dengan bangkit mengejutkan pasangan keenam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A.

Gandingan di ranking ke-13 dunia itu, mempamerkan aksi bertenaga sebelum mencatat kemenangan 18-21, 21-15, 21-16, ke atas juara dunia 2018 dan 2019, Matsumoto-Nagahara di Porte De La Chapelle Arena.

Apa yang menarik adalah, sebaik saja tamat perlawanan, kebanyakan penonton terdiri daripada warga Eropah memberi penghormatan ‘standing ovation’ kepada mereka.

Malah, ada di antara penyokong terbabit mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda sokongan kepada gandingan negara itu.

Perkara sama turut dilalui beregu campuran Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai 21-15, 24-22 pada perlawanan kedua di pentas Olimpik.

Sambutan luar biasa yang ditunjukkan penyokong Eropah itu mungkin disebabkan terpukau dengan aksi mantap dipamerkan pemain negara dalam usaha mencipta kemenangan terhadap lawan masing-masing.

Turut mencipta kemenangan pada pertembungan semalam adalah membabitkan beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura, 21-10, 21-15 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung selama 40 minit.

sumber:-BH

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia juga tidak berdepan masalah mencipta kemenangan selepas menundukkan pemain nombor 70 dunia, Viren Nettasinghe dari Sri Lanka 21-14, 21-12 dalam perlawanan Kumpulan G.