sukan

Penyokong naik angin dengan pemain Nombor 7 Selangor

Kuala Lumpur: Segelintir penyokong setia Selangor FC (SFC) jelas berang dengan sikap ‘tamak’ beberapa pemain ketika aksi menentang Melaka FC pada Sabtu lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Majoriti peminat ‘menyerang’ ketua pasukan, Faisal Halim yang didakwa tidak beraksi secara berpasukan dengan kerap melakukan percubaan-percubaan yang sukar ke arah gawang lawan.

“Nombor 7 (Faisal) nak buktikan apa?. Dah memang tak ada ruang nak mencuba juga, masih tak nak hantar pada rakan juga.

“Perlawanan ini paling teruk. Korang gaduh berebut roti john ke berbuka tadi?,” luah Mohd Fared Kandar di laman sosial.

Buat Izad Wahid pula,”Boleh buat hantaran tapi nak juga rembat. Kalau tepat ke sasaran tak mengapa, ini habis semua tak tepat. Ya kami bukan pemain profesional, tapi benda ini permainan 11 orang bukan untuk seorang pemain,” tulisnya.

Ada juga penyokong yang akui kecewa di atas keputusan seri itu yang boleh memberi kesan terhadap misi skuad Red Giants untuk menamatkan saingan di tangga kedua Liga Super, sekali gus menjejaskan peluang meraih slot ke Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim depan.

“Benda boleh menang tapi sendiri cari penyakit dengan sikap tamak pemain. Merugikan pasukan. Lupakan jelah ACL II tahun depan.

“2026 ini cuma dapat nombor 3 atau 4 saja lah. SFC tolong pesan kepada pemain terutama FH7 (Faisal) jangan bajet bintang. Jangan tamak nak naikkan nama sendiri,” kata Amy.

Ketika ini, SFC masih berada pada landasan terbaik untuk menamatkan kempen selaku naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) namun dengan syarat wajib mencatat kemenangan dalam baki enam aksi liga selepas ini.