sukan

Penyokong NSFC mengharapkan ada kelibat Luqman berdepan Kuching City FC

SEREMBAN: Penyerang baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Luqman Hakim Shamsudin dijangka bakal membuat penampilan sulung dalam perlawanan ketiga Liga Super menentang Kuching City FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Selepas melalui dua perlawanan awal liga iaitu menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) tanpa kelibat bekas penyerang KV Kortrijk itu, peminat Negeri Sembilan kini menantikan kemunculan Luqman Hakim bagi memperkukuhkan serangan skuad Hobin Jang Hobin.

Sebelum ini, ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil memaklumkan bahawa Luqman Hakim masih berada dalam fasa pemulihan namun ada kemungkinan dia boleh diturunkan pada aksi menentang Kuching City FC.

“Luqman Hakim mungkin lebih bersedia untuk beraksi pada pertembungan dengan Kuching City FC,” kata Mohd Nizam.

Selain Luqman, pengendali berusia 45 tahun itu turut memaklumkan bekas pemain kebangsaan Ahmad Khuzaimi Piee, juga dijangkakan akan diturunkan, malam esok.

Dalam kedua-dua perlawanan liga, Luqman bukan sahaja tidak berada dalam barisan kesebelasan utama malah senarai sebagai pemain simpanan.

Kemunculan Luqman pastinya menjadi detik yang dinanti-nantikan penyokong dalam menambah bisa serta kekuatan Negeri Sembilan yang sedang memburu rentak konsisten dalam saingan Liga Super, selepas aksi cemerlang menundukkan Selangor FC.