sukan

Penyokong Selangor harap berjaya tamatkan dominasi JDT musim ini

KUALA LUMPUR: Penyokong Selangor menaruh harapan tinggi terhadap skuad Gergasi Merah untuk menamatkan dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

JDT mendominasi pentas saingan Liga M apabila berjaya menyapu bersih semua trofi utama dalam saingan Liga Malaysia buat kali keempat berturut-turut sejak 2022.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menjelaskan memang menjadi impian penyokong untuk melihat skuad kendalian Kim Pan Gon dapat meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Apa yang diharapkan Faizal adalah supaya saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dapat berjalan dengan lebih baik tanpa isu besar terutama membabitkan keputusan pengadil di atas padang seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Sebenarnya, memang diimpikan untuk melihat pasukan menamatkan dominasi JDT. Pasukan mana pun yang boleh memecah dominasi JDT tahun ini, mereka adalah pasukan besar dalam Malaysia.

“Saya mengharapkan pasukan itu adalah Selangor. Namun, kita amat berharap mutu pengadilan berada pada tahap terbaik dan tiada keputusan kontroversi yang boleh merencatkan kehangatan Liga M.

“Walaupun kelihatan sukar, tetapi sebagai penyokong saya berharap Selangor akan dapat sekurang-kurangnya satu kejuaraan tidak kira bagi mana-mana piala,” katanya kepada BH Sukan.

Selangor antara lima pasukan yang beraksi pada perlawanan pertama berjaya membuka saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan selepas menewaskan pendatang baharu, Kelantan Red Warrior FC 4-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu lalu.

Negeri Sembilan FC (NSFC) yang tidak beraksi pada perlawanan pertama turut mendapat tiga mata selepas skuad itu diberikan kemenangan percuma oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Ia selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati Kuala Lumpur (KL) City FC gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC, Sabtu lalu.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu tidak dapat dilangsungkan pada saat akhir selepas beberapa pemain KL City dijangkiti infuenza.