KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 0-2 di tangan Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Harimau Malaya gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila membiarkan pasukan Oman membawa pulang dua gol dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.
Susulan kekalahan berikut, ramai penyokong tanah air tidak berpuas hati dengan aksi persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buah Pan-gon.
Malah, tidak kurang juga ada yang menuding jari bahawa kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan yang dilakukan oleh barisan pemain kebangsaan itu sendiri.
Enggan meletakkan kesalahan di bahu anak-anak buahnya, Pan-gon bagaimanapun mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan berkenaan.
“Sebagai pengendali Harimau Malaya, saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Ia sukar, kalah dalam perlawanan itu bukanlah mudah sama sekali.
“Saya menghargai usaha para pemain kerana keadaan yang mereka hadapi, ia adalah sukar.
“Kami tahu mengapa ia sukar. Saya telah mengatakannya berkali-kali bahawa kekurangan kecergasan perlawanan antara sebab para pemain mengalami kesukaran untuk bersaing.
“Dalam situasi seperti ini, mereka memberi 120 peratus. Saya rasa kami tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan itu, kami boleh memberikan keputusan yang lebih baik.
“Orang ramai tidak sepatutnya mengkritik pemain. Yang patut dikritik ialah ketua jurulatih,” kata pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
sumber:- Majoriti
Pan-gon bagaimanapun berjanji kepada penyokong bahawa mereka akan bangkit dalam dua pertemuan terakhir Kumpulan D apabila menentang Kyrgyzstan (6 Jun) di Bishkek dan Taiwan (11 Jun) di Kuala Lumpur.