sukan

Penyokong tanya mana Rob Friend?

Pemerhati bola sepak tanah air, Zakaria Rahim, yang juga bekas pengurus pasukan Selangor menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan tindakan tatatertib ke atas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski meskipun beliau sudah memohon maaf.

“Saya sebagai bekas pengurus Selangor, saya pernah kena (denda) dengan wang ringgit oleh FAM hanya kerana beberapa kritikan kerana saya merupakan sebahagian daripada organisasi FAM ketika itu.

Sambil merujuk kepada beberapa kes terdahulu, Zakaria berkata Clamovski tidak harus terkecuali daripada sebarang tindakan tatatertib.

“Mendiang B. Sathianathan, Tan Sri Annuar Musa, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, bahkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) juga pernah dikenakan hukuman kerana mengkritik FAM secara terbuka. Jadi mengapa Peter boleh dapat pelepasan?

“Dia sepatutnya tumpukan pada keadaan pemain, pasukan dan sebagainya, saya tidak pernah lihat mana-mana jurulatih walaupun Arne Slot atau Alex Ferguson bercerita mengenai pengurusan pasukan.

“Mereka hanya bercerita mengenai taktikal, pemain dan paling jauh mengenai prestasi pasukan lawan.

“Bukan nak cerita bagaimana sebuah organisasi itu harus diuruskan, itu bukan kerja dia. Yang patut bercakap mengenai itu adalah Rob Friend, sekarang ini penyokong bertanya mana Rob Friend langsung tidak bersuara, adakah dia ada dalam negara. Ini persoalan di mana dia berada, muka langsung tak nampak sejak diumumkan kemasukan dia dalam pasukan.” ujarnya.

Dalam pada itu, editor twentytwo13, Haresh Deol, menyifatkan tindakan FAM berdiam diri terhadap kenyataan terbuka Clamovski hanya menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi.

Ujar Haresh, FAM sepatutnya memberikan maklum balas segera di atas kenyataan Clamovski yang seolah-olah mempersoalkan kredibiliti badan induk bola sepak negara itu.

Dia menjelaskan pendirian FAM penting demi memastikan perkara sedemikian tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

“Ada pepatah ‘silence is golden’, tetapi dalam kes ini silence is not golden kerana jika anda hanya menutup mulut, tidak mahu memberikan komen hanya akan mengapi-apikan spekulasi.” ujarnya.