sukan

Perak FC pecah Rekod JDT

Kejayaan membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 menyaksikan Perak FC melakar sejarah musim ini sebagai kemenangan terbesar dalam saingan Liga Super setakat ini.

Berdasarkan tinjauan rekod aksi sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pemegang rekod kemenangan terbesar Liga Super dengan kejayaan membelasah Kedah Darul Aman FC 6-0 dalam aksi kelapan liga pada Ogos lalu.

Skuad Harimau Selatan sekali lagi ‘mengamuk’ dengan kemenangan 6-1 ke atas KDN FC pada aksi ke-11 liga yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim September lalu.

Namun rekod itu kini beralih arah menjadi milik Perak FC selepas berpesta gol ke atas KDN FC pada aksi ke-19 liga di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam semalam.

Menurut pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, kemenangan besar itu nyata melonjakkan lagi motivasi Perak FC dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Jelasnya, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak didiknya sepanjang perlawanan itu dengan jentera serangan juga berjaya memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol.

“Tahniah kepada pemain kerana memanfaatkan peluang dan mengekalkan rekod tanpa bolos sambil menambah jumlah jaringan kami.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi kemenangan ini kerana perlawanan yang lebih sukar menanti,” katanya.

Yusri turut menekankan kepentingan mengekalkan fokus menjelang perlawanan seterusnya menentang Kuching City pada 7 Februari di Stadium Negeri, Kuching.

“Kami hampir ke penghujung liga, dan setiap minit di atas padang sangat berharga. Pemain perlu memanfaatkan setiap peluang untuk membantu pasukan meraih mata maksimum,” katanya.

Dalam aksi malam kelmarin, gol-gol skuad The Bos Gaurus diraih menerusi penyerang import, Clayton yang meledak empat gol masing-masing di minit kelapan, m-56, m-62 dan m-93.

sumber:- HM

Tiga lagi gol disumbangkan Luciano Guaycochea minit 14, Adilet Kanybekov minit 24 dan Tommy Mawat Bada minit 69.Ketika ini Perak FC menghuni tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 22 mata daripada 18 aksi setakat ini.