sukan

Perak terus menggigit jari

LUMUT – Selangor mengukuhkan cengkaman di tempat kedua Liga Super selepas menundukkan Perak di Stadium Manjung hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Perak kemarau kemenangan untuk enam perlawanan berturut-turut dalam saingan liga tersebut.

Dua jaringan Alvin Fortes masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan membolehkan Selangor mengumpul 35 mata daripada 16 perlawanan.

Gol pertama Selangor dijaringkan oleh Fortes pada minit ke-41 selepas mudah menolak masuk hantaran Quentin Cheng dari sebelah kanan.

Fortes menggandakan jaringan pada minit ke-71 selepas menerima hantaran ke belakang oleh Alexander Ameyaw.

Perak menjaringkan gol saguhati menerusi rembatan Wan Zack Haikal dalam kotak penalti pada minit ke-89. – KOSMO! ONLINE