sukan

‘Perang’ taktikal antara Nafuzi, Pan Gon makin panas

Selepas meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kelantan Red Warrior (KRW) pada aksi pertama Liga Super, Sabtu lalu, Selangor FC (SFC) sekali lagi akan ‘berperang’ di Pantai Timur apabila turun menentang Terengganu FC (TFC), malam ini.

Apa yang pasti, kedua-dua pasukan membawa misi sama pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu mahu meneruskan momentum kemenangan untuk mengejar juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini sudah mula membina tapak di tangga teratas carta.

Malah, ia juga menjadi pertarungan taktikal pertama antara ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon dengan pengendali Terengganu, Nafuzi Zain yang kembali mengemudi skuad Penyu pada musim ini.

Kelibat beberapa tonggak baharu Selangor sekali lagi akan terus menjadi tumpuan kerana ketika berdepan KRW sebelum ini, dua pemain ‘lama’, Faisal Halim dan Chrigor Moraes lebih menonjol apabila masing-masing meledak dua gol.

Pan Gon menjelaskan bahawa pemain baharu skuad itu masih memerlukan masa untuk mendapatkan rentak terbaik bersama skuad itu dan percaya persembahan lebih baik dapat ditampilkan mereka dalam aksi seterusnya.

“Mereka masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dan memerlukan sedikit masa. Jadi saya percaya jika dapat menyesuaikan diri dengan baik, mereka boleh memberikan sumbangan kepada pasukan musim ini.

“Musim ini kami perlu membakar semangat dan berjuang untuk kembali ke kedudukan yang lebih baik. Kami masih belum berada pada tahap 100 peratus dan pemain baharu juga memerlukan sedikit lagi masa untuk menyesuaikan diri.

“Saya percaya kami akan menjadi pasukan yang lebih baik langkah demi langkah dan mempamerkan permainan yang lebih berkualiti,” katanya.

Selangor yang berdepan detik mengecewakan apabila terlepas tiket ke kejohanan peringkat Asia selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim lalu memasang impian besar untuk meraih pencapaian lebih baik musim ini.

Gergasi Merah bagaimanapun tampak tidak akan berdepan tugas mudah kerana TFC juga hadir dengan motivasi tinggi selepas kejayaan menewaskan Melaka FC 3-0 pada aksi pertama di gelanggang sama, Sabtu lalu.

Liga Super

Hari Ini

Sabah mln Penang, 7.30 mlm

TFC mln Selangor, 9 mlm

Esok

KL City mln DPMM

JDT mln Imigresen, 8.15 mlm

KRW mln Kuching City, 9 mlm

Ahad

Melaka mln NSFC, 8.15 mlm