sukan

Perangkap Azriyn-Wee Kiong kali ini menjadi

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, mencipta kejutan terbesar pada Terbuka Denmark 2025 apabila menyingkirkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Beraksi penuh tenang di Arena Jyske Bank, gandingan ranking ke-24 dunia itu mempamerkan persembahan bertenaga untuk menang straight set 21-19, 21-14 dalam tempoh 36 minit sekali gus mara ke suku akhir kejohanan.

Kemenangan itu bukan sahaja membuka laluan mereka ke kelompok lapan terbaik, malah menjadi kemenangan pertama Azriyn-Wee Kiong ke atas pasangan ranking nombor satu dunia sejak bergandingan tahun lalu.

“Kami gembira dengan kemenangan ini. Hari ini kami hanya cuba menikmati permainan dan saling mengingatkan antara satu sama lain supaya terus fokus serta berikan yang terbaik di gelanggang,” kata Wee Kiong kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut Wee Kiong, mereka menekankan kepentingan untuk menyaingi rentak pantas lawan sejak awal permainan yang berjaya memerangkap juara dunia berkenaan.

“Semua tahu mereka laju dan kuat. Jadi fokus kami ialah cuba ikut rentak mereka dahulu. Bila kami mula mendahului, mungkin mereka hilang sedikit tumpuan. Kami cuma main gaya kami sendiri,” katanya.

Azriyn-Wee Kiong bakal berdepan pemenang antara Liang Wei Keng-Wang Chang dari China atau gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, bagi perebutan tiket ke separuh akhir esok.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mara ke suku akhir selepas mengalahkan gandingan Jepun, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-18, 21-13.

Menanti mereka adalah pemenang di antara rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atau Gao Jia Xuan-Wu Meng Yin dari China.