Kuala Lumpur: Dua anak muda namun memiliki jalan berbeza. Tapi kini, perbandingan nilai pasaran Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim kembali jadi bualan panas penyokong bola sepak tempatan untuk membuktikan siapa sebenarnya ‘permata’ bola sepak Malaysia.
Selain kehadiran tiga kelab baharu dalam kancah Liga Super musim 2025/2026, turut menjadi tumpuan adalah pertemuan dua pemain muda terbabit yang sudah pasti dinantikan penyokong bola sepak tanah air.
Arif, pemain sayap lincah yang terus menjadi nadi Harimau Selatan, kini dinobatkan antara pemain tempatan termahal dengan nilai pasaran mencecah €1.2 juta (RM5.9 juta) menurut Transfermarkt.
Prestasinya bukan calang-calang. Di Sepanyol, dia bukan saja diturunkan sebagai tonggak utama JDT dalam siri pra musim, malah diberi kepercayaan menyandang lilitan kapten.
Malah, ketika ini pemain terbabit boleh dikatakan antara ‘tonggak tetap’ yang membarisi kesebelasan utama skuad Harimau Malaya sekali gus membuktikan dia berada di kelas tersendiri.
Namun di satu sudut lain, Luqman Hakim kembali pulang ke tanah air selepas lima tahun merantau dari Belgium ke Iceland, kemudian Jepun, kini anak muda Kelantan itu menyarung jersi Negeri Sembilan FC.
Bezanya, dari segi angka, Luqman hanya dinilai sekitar €50,000 (RM247,000) iaitu jauh tertinggal di belakang Arif.
Tapi jangan cepat menghukum kerana Luqman pernah diuji di liga-liga Eropah sekali gus pengalamannya luas di pentas antarabangsa.
Kini, dia ada peluang untuk membuktikan sesuatu bahawa nilainya bukan hanya sekadar angka di atas kertas.
Mampukah Luqman bangkit? Atau Arif akan terus meninggalkan semua pesaing jauh ke belakang?
sumber:- HM
Apa yang pasti, Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal menjadi pentas pertarungan sebenar dua ikon muda ini yang masing-masing membawa harapan besar buat bola sepak negara.