MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik usaha Akuatik Malaysia (MAS) untuk merekrut perenang warisan bagi memantapkan skuad kebangsaan mengharungi kejohanan di pentas antarabangsa.
Ketua Pengarahnya, Jefri Ngadirin berkata, banyak negara sudah memulakan langkah tersebut termasuk Filipina yang menjadi tuan rumah Sukan SEA bagi edisi 2019 lalu.
“Kita harap lebih ramai atlet berdarah Malaysia yang berada di luar negara dapat kembali dan mewakili negara.
“Ia masih di peringkat awal dan kita masih menunggu senarai daripada persatuan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahun (AGM), Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur pada Ahad.
MAS menerusi Timbalan Presidennya, Marily Chua akan memperhebat usaha mengenal pasti perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut diguna Singapura.
Beliau berkata, usaha tersebut membabitkan pencarian bakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan program renang negara.
Menyentuh mengenai kos tambahan, Jefri memberitahu, ia tidak melibatkan implikasi kewangan, cuma mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Sebelum ini pun kita ada atlet yang bermastautin di luar negara. Mereka hanya akan dibantu jika layak memasuki Program Podium atau program tertentu,” katanya.
sumber:- SH
MAS telah mengenal pasti sekitar lima perenang berusia antara 14 hingga 19 tahun dengan pencarian itu dilakukan di beberapa negara seperti New Zealand, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.