sukan

Perkembangan terkini skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan Harimau Malaya mencatatkan peningkatan yang memberansangkan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun lalu.

Pada April 2024, Malaysia menghuni tangga ke-138 dunia dengan merekodkan 1,095 mata dan berjaya mendaki enam anak tangga menjelang penghujung tahun hasil beberapa keputusan positif yang dicatat skuad negara.

Harimau Malaya melonjak ke tangga 133 dunia pada Oktober lalu sebelum naik satu lagi anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-132 dunia dengan mengumpul 1,116 mata.

FAM memaklumkan, peningkatan itu selari dengan sasaran pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 (2023-2026) iaitu untuk terus mendaki kedudukan ranking FIFA dan muncul negara teratas di rantau ASEAN.

“FAM meletakkan fokus pemerkasaan permainan skuad kebangsaan adalah untuk mendaki ranking FIFA dengan menganjurkan lebih banyak perlawanan antarabangsa membabitkan negara dengan ranking lebih tinggi.

“Pada tahun lalu, Harimau Malaya berdepan beberapa pasukan ranking lebih tinggi di pentas Piala Asia seperti Korea Selatan yang menghuni tangga ke-23 dunia, Jordan (64) dan Bahrain (81).

“Bukan itu sahaja, skuad kebangsaan turut menentang beberapa pasukan ranking lebih tinggi seperti Oman (80), New Zealand (89), Thailand (97), Kyrgyzstan (107) dan Lubnan (112),” kata FAM dalam kenyataan di laman Facebook badan induk itu.

Harimau Malaya kini memasuki era baharu menerusi revolusi skuad kebangsaan dengan Peter Cklamovski diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih.

sumber:-BH

Ujian pertama Harimau Malaya di bawah pengendali dari Australia itu adalah aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan pasukan ke-175 dunia, Nepal dalam Kumpulan F pada 25 Mac depan.