sukan

Perlis melahirkan bakat baru bola sepak negeri

KANGAR: Penganjuran Liga Super Perlis 2024 menjadi medan dalam melahirkan bakat baru bola sepak negeri itu selain membantu kelab-kelab amatur dalam menguruskan pasukan secara profesional.

Ia susulan tanggapan pelbagai pihak terhadap pengurusan bola sepak Perlis yang dianggap tidak profesional dan mempunyai banyak masalah seperti tunggakan gaji pemain serta kakitangan pasukan.

Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, dalam usaha kerajaan negeri mencungkil bakat yang ada dalam setiap sukan terutamanya bola sepak, pihaknya juga mahu meningkatkan tahap pengurusan kelab atau persatuan itu ke tahap yang lebih tinggi.

“Perlis ini tidak ada masalah dengan bakat, namun misi kita sekarang adalah untuk meningkatkan tahap pengurusan kelab atau persatuan itu sendiri.

“Kita mempunyai ramai bakat namun tahap pengurusan kita sering tidak berada pada satu keadaan yang optimum atau terbaik. Perjalanan sesuatu kelab itu tidak ke mana-mana dan sudah tentu, sistem pengurusan atau cara pengurusan bukan bergantung kepada mengurus sahaja tetapi cara promosinya dan cara sesuatu kelab itu sendiri dalam mencari dana untuk ‘survival’ kelab itu.

“Itu penekanannya, sebagai contoh tahun lepas kita ada berbelas-belas kelab yang sertai namun kali ini kita hanya hadkan kepada lapan pasukan di mana pasukan ini sudah pun menjalani proses saringan daripada segi pengurusannya.

“Kelab ini mestilah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan yang paling utama adalah pengurusan kelab mesti wajib hadir dalam setiap taklimat yang kita laksanakan kerana sekiranya gagal mengikut peraturan itu, maka kita tidak akan benarkan mereka sertai liga ini,” kata Wan Zikri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperkenalkan Pasukan dan Penaja Liga Super 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), di sini semalam.

Liga Super 2024 yang bakal membuka tirai pada 5 Julai sehingga Oktober depan itu bakal menampilkan lapan pasukan amatur dari beberapa daerah negeri ini yang membawa nama kelab masing-masing – Arau City FC, Kuala Perlis Titans FC, KSMR Kangar FC, Suria Paya United SC SMKTS, Bintong FC, Kangar City FC, Anak Nelayan Seberang Ramai FC dan Juang Kayang FC.

Katanya, pihaknya juga turut membantu kelab yang bertanding dalam liga edisi kali ini mengenai cara pendanaan dalam sesuatu kelab atau pasukan.

Terdahulu, Wan Zikri bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli turut membuat undian Piala Perlis yang memberi peluang kepada lapan kelab yang bertanding ini merangkul piala berkenaan.

Liga Super Perlis edisi ketiga kali ini akan membabitkan 300 pemain di bawah usia 25 tahun serta pegawai dan ia adalah usaha pembangunan bola sepak dan ruang untuk pemilihan pemain ke liga amatur yang lain.

sumber:-BH

Liga ini juga dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis yang diiktiraf oleh Amateur Football League (AFL).