sukan

Perlis United didakwa ‘menewaskan’ tiga lagi pencabar

KUALA LUMPUR: Debaran empat pasukan Liga M3 yang menanti tiket ke Liga Super musim 2024/25 berakhir selepas Perlis United didakwa ‘menewaskan’ tiga lagi pencabar lain untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Menurut sumber, skuad ‘Singa Utara’ menerima lesen bersyarat sekali gus melengkapkan 14 pasukan dalam Liga Super susulan kekosongan satu slot yang ditinggalkan Kelantan FC yang gagal mendapat lesen kebangsaan bagi musim ini.

“Perlis naik ke Liga Super tetapi apa syarat yang ditetapkan tidak tahu lagi. Tetapi ini satu berita yang baik buat peminat Perlis yang sudah lama tidak bermain di liga utama.

“Apapun satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai perkara itu,” kata sumber berkenaan.

Perkembangan ini menyaksikan hasrat tiga pasukan teratas Liga M3 pada musim iaitu Imigresen FC, KL Rovers dan Harini untuk merebut satu slot ke Liga Super itu berakhir.

Sebagai rekod, kali terakhir Perlis beraksi di liga utama Malaysia adalah dalam aksi Liga Perdana pada 2018 namun mereka berdepan kemelut tunggakan gaji.

Ini menyaksikan pasukan itu Perlis akhirnya digugurkan daripada Liga Malaysia (Liga M) pada 2019 selepas gagal menyelesaikan isu kewangan biar pun berulang kali sudah diberi amaran.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL yang sebulat suara membatalkan penyertaan pasukan terbabit.

Sementara itu Presiden Perlis United, Shukri Othman ketika dihubungi BH Sukan berkata, pihaknya ada mendengar mengenai perkara itu daripada media sosial.

sumber:-BH

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana masih belum mendapat keputusan bertulis secara rasmi berhubung permohonan berkenaan.