KUALA LUMPUR: Hasrat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mempertahankan gelaran Terbuka Jepun musnah selepas kecundang di tangan pasangan sensasi Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam aksi final.
Berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, pasangan nombor satu dunia itu terpaksa akur tewas straight set 16-21, 17-21 dalam tempoh 38 minit, sekali gus gagal menjulang gelaran kedua musim ini selepas Terbuka India, Januari lalu.
Apa yang lebih memeritkan, kekalahan itu menyaksikan takhta ranking nombor satu dunia milik Sze Fei-Izzuddin secara rasmi bertukar tangan kepada pasangan Korea itu apabila ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dikemas kini, Selasa ini.
“Kami tak ada apa-apa nak dibuktikan. Kami hanya cuba berikan yang terbaik dan nikmati perlawanan ini,” kata Sze Fei selepas tamat perlawanan.
Sze Fei-Izzuddin cuba memberikan tentangan sengit khususnya pada set kedua apabila berjaya mendahului, namun gandingan Korea Selatan yang kini berada di prestasi kemuncak pantas mengejar dan menoktahkan perlawanan dengan penuh bergaya.
“Kami cuba mengejar kelajuan mereka… tapi mereka sangat pantas. Itu cabaran utama bila lawan mereka, kelajuan. Mereka memang hebat,” jelas Izzuddin yang mengakui mereka belum cukup ampuh dari segi fizikal dan taktikal.
Pasangan Korea Selatan itu juga melengkapkan dominasi mereka di kejohanan kali ini apabila menyingkirkan tiga beregu terbaik Malaysia secara berturut-turut, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (suku akhir), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (separuh akhir) dan akhirnya Sze Fei-Izzuddin di pentas akhir.
“Kami akan buat persiapan lebih rapi selepas ini dan hanya fokus pada diri sendiri. Apa pun, kami takkan berhenti kejar kedudukan itu semula,” kata Sze fei.
Lebih mengecewakan, kegagalan mempertahankan kejuaraan itu turut menafikan peluang mereka mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama negara yang memenangi Terbuka Jepun sebanyak dua kali.
Setakat ini, hanya empat beregu lelaki negara pernah menjulang gelaran di kejohanan ini iaitu Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek (1986), Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002) dan Sze Fei-Izzuddin pada edisi 2023.
Bagi Won Ho-Seung Jae, kejayaan ini adalah gelaran kelima musim ini selepas Terbuka Malaysia, Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Indonesia, membuktikan mereka kini menjadi kuasa baharu yang sukar digugat dalam arena beregu lelaki dunia.
Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$70,300 (RM298,500), manakala Sze Fei-Izzuddin meraih AS$33,250 (RM141,182) selaku naib juara.