KUALA LUMPUR: Adakah padang Stadium Nasional, Bukit Jalil bersedia sepenuhnya untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman, Selasa ini?
Persoalan itu timbul apabila gambar yang dirakam menerusi dron oleh jurugambar NSTP hari ini, mendapati permukaan padang di gelanggang keramat Harimau Malaya itu tampak masih tidak ‘cantik’ dengan kelihatan kesan tampalan rumput.
Berbaki tiga hari sebelum aksi keempat Kumpulan D itu berlangsung, muncul persoalan adakah padang Stadium Nasional sempat ‘pulih’ untuk dijadikan pentas aksi pemain Harimau Malaya dan Oman.
Beberapa hari lalu, sudah tersebar di media sosial mengenai gambar dipercayai padang Stadium Nasional yang diambil dari sudut atas menggunakan dron.
Apa yang meresahkan penyokong apabila gambar berkenaan memaparkan keadaan permukaan padang tidak berada dalam keadaan memuaskan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika diminta mengulas mengenai perkara itu bagaimanapun menjelaskan bahawa ia bukan gambar terkini padang Stadium Nasional.
Justeru, beliau berkata semua pihak perlu menunggu sehingga hari perlawanan untuk melihat keadaan sebenar padang di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu.
Bagaimanapun, muncul lagi video dan gambar mengenai keadaan padang di Stadium Nasional yang dimuat naik di laman YouTube dengan ia didakwa dirakam, semalam.
sumber:-BH
Berdasarkan rakaman video berkenaan, keadaan permukaan padang juga dilihat masih belum berada pada tahap terbaik untuk aksi keempat Kumpulan D itu.