sukan

Pernah tiga kali muncul juara dunia – Mohd Rifdean

KUALA LUMPUR: Atlet muay thai negara, Mohd Rifdean Masdor melakar kemenangan bergaya pada penampilan sulungnya dalam ONE Championship di Bangkok, Thailand, malam tadi.

Rifdean hanya memerlukan kurang 90 saat bagi menumbangkan lawannya dari Thailand, Pichai Lookbanmai menerusi Technical Knockout (TKO) dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Stadium Tinju Lumpinee.

Rifdean yang ditemu bual selepas perlawanan mendedahkan kehadiran jurulatihnya dari Malaysia menyuntik semangatnya untuk melakar kemenangan dalam pertarungan itu.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ini adalah impian saya.

“Jurulatih saya datang dari Malaysia bagi menonton saya bertarung dalam ONE Championship. Ini meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

“Dia beritahu kepada saya supaya bertarung sepenuh hati untuk keluarga, pasukan dan negara saya Malaysia,” kata Rifdean yang pernah tiga kali muncul juara dunia kategori umur bawah 23 tahun.

Walaupun ia adalah penampilan sulungnya, Rifdean tidak menunjukkan sedikit pun rasa gentar apabila melancarkan serangan bertali arus ke atas Pichai sekali gus menyukarkan lawan berkenaan sukar untuk membalasnya.

sumber:-BH

Strategi itu membuahkan hasil buat Rifdean apabila dia merekodkan kemenangan dalam masa 1 minit 18 saat sahaja di pusingan pertama dengan kemenangan TKO.