sukan

Perpisahan sementara mematangkan Tang Jie-Ee Wei

KUALA LUMPUR: Perpisahan sementara selepas kempen Seluruh England, Mac lalu, menjadi titik perubahan penting dalam kematangan gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang kini berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah di Terbuka Indonesia 2025.

Pasangan ranking keempat dunia itu kini tinggal dua langkah untuk muncul sebagai beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan berprestij itu sejak ia mula diperkenalkan pada 1982 selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, hari ini.

Dalam aksi suku akhir di Istora Senayan, Jakarta, mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund 17-21, 21-16, 21-14 dalam tempoh 54 minit.

Tang Jie-Ee Wei sebelum ini berpisah seketika selepas kempen Seluruh England dan kembali bergandingan semula di Terbuka Singapura, minggu lalu.

Bagaimanapun, mereka sempat digandingkan sementara di Piala Sudirman pada Mei lalu sebelum kedua-dua pemain diberi tanggungjawab membimbing pemain muda – Tang Jie digandingkan bersama Chan Wen Tse, manakala Ee Wei bersama Loo Bing Kun ketika menyertai Terbuka Taiwan dan Masters Malaysia.

Pengalaman itu ternyata memberi kesan besar terhadap persefahaman dan kematangan mereka sebagai satu unit.

“Kami belajar untuk lebih bertanggungjawab dan sabar ketika bergandingan dengan pemain junior. Bila kembali bersama, kami lebih memahami peranan masing-masing.

“Hari ini memang bukan mudah kerana kami belum pernah menentang mereka (pasangan Denmark), tetapi kami ikut perancangan, tingkatkan tempo dan cari ruang serangan. Syukur semuanya menjadi,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Wei pula mengakui kekuatan mental dan kepercayaan antara satu sama lain menjadi faktor utama kemenangan mereka semalam.

“Kami saling percaya dan kekal fokus. Jurulatih pun banyak membantu dari segi mental supaya kami yakin dengan kemampuan sendiri. Tapi kami tak mahu leka, tumpuan sekarang adalah pada aksi separuh akhir,” katanya.

Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran esok, yang menyingkirkan pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, 21-16, 21-12 dalam satu lagi aksi suku akhir.

sumber:- BH

Setakat ini, rekod pertemuan memihak kepada pasangan Thailand dengan kelebihan 2-1, termasuk kemenangan di Masters Indonesia, Januari lalu.