KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mencatat kemenangan 5-3 pada aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, menggambarkan wujud kepincangan dari segi persiapan pasukan.
Menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz, kepincangan itu jelas dapat dilihat dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan hingga menyaksikan pintu gol dibolosi dua kali dalam tempoh empat minit.
“Ternyata ia bukan permulaan yang sempurna buat JDT setelah menang 3-0 ketika berdepan Selangor FC pada aksi Sumbangsih minggu lalu, apabila kami perlu bekerja keras.
“Kami juga berdepan situasi yang berbeza dalam perlawanan itu, dan ini membuatkan kami perlu belajar memulakan perlawanan dengan lebih agresif.
“Pada aksi pertama liga kami menyerlah apabila menjaringkan gol awal, tetapi pada perlawanan kali ini kami leka sehingga akhirnya dihukum pasukan lawan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Dalam aksi sengit itu, skuad Hobin Jang Hobin terlebih dahulu mencemaskan JDT apabila membuka jaringan menerusi import Ghana, Joseph Esso pada minit ke-8, sebelum empat minit berselang giliran seorang lagi pemain import, Jovan Motika, menjaringkan gol kedua pelawat.
Bagaimanapun, pemain JDT, Jon Irazabal, merapatkan jurang pada minit ke-38 disusuli jaringan Joao Figueiredo pada minit ke-42.
Babak kedua menyaksikan Irazabal menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-56, diikuti Arif Aiman Hanapi pada minit ke-58.
Motika kemudian menjaringkan gol ketiga pelawat sebelum peledak berbisa, Bergson da Silva, meledak gol kelima JDT pada masa kecederaan.
Sementara itu, Munoz berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki seperti situasi bola mati yang menghasilkan dua jaringan daripada sepakan sudut dalam perlawanan berkenaan.
Katanya, jaringan daripada situasi bola mati itu masih belum membanggakan kerana skuad Harimau Selatan memiliki 14 sepakan sudut sepanjang perlawanan.
sumber:- SH
“Set piece (bola mati) ini penting kerana kita diberikan banyak sepakan sudut dan sepakan bebas dalam sesuatu perlawanan. Hal seperti inilah yang perlu dijadikan senjata buat Harimau Selatan,” katanya.