SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan mengharungi tiga lagi aksi persahabatan menjelang perlawanan pertama Liga Super musim ini menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) di tempat lawan pada 18 Mei.
Pengendalinya, Azzmi Ab Aziz berkata, ia bermula dengan aksi menentang Kelab Bola Sepak Universiti Malaysia (Liga A1) di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, petang esok.
Kemudian akan disusuli dengan aksi menentang Tanjong Pagar United dari Singapura pada 7 Mei dan bertemu sebuah kelab tempatan pada 11 Mei.
“Memandangkan kita hanya akan memulakan aksi Liga Super musim ini bertemu JDT pada 18 Mei, jadi kita rancang mengadakan satu aksi persahabatan pada 11 Mei dengan sebuah kelab tempatan yang akan ditentukan kemudian.
“Saya berharap menrusi ketiga-tiga aksi persahabatan ini nanti, akan dapat membantu memantapkan lagi persiapan pasukan terutama daripada segi persefahaman dan keserasian antara pemain sebelum kita menghadapi perlawanan pertama Liga Super,” kata Azzmi.
Pengendali berusia 49 tahun itu berpuas hati dengan komitmen tinggi dipamerkan pemain skuad Hobin Jang Hobin sepanjang persiapan latihan setakat ini, tetapi mahu anak buahnya terus berusaha meningkatkan lagi prestasi.
Beliau yang mengambil alih jawatan berkenaan selepas kontrak K Devan tamat, yakin prestasi dan kekuatan pasukan itu akan dapat ditingkatkan sebelum berhadapan dengan JDT pada aksi pembukaan.
“Walaupun keputusan yang dicatat Negeri Sembilan dalam beberapa aksi persahabatan diadakan sebelum ini kurang baik, saya yakin segala kelemahan dan kekurangan itu akan diperbaiki sebelum liga bermula.
“Saya optimis dengan barisan pemain yang ada ini, kita akan dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap dan dapat bersaing dalam liga dengan penuh yakin,” katanya.
Azzmi juga berkeyakinan bahagian serangan pasukan itu mampu memperagakan aksi mantap menerusi gandingan pemain yang ditampilkan musim ini termasuk Mika Junco dari Sepanyol dan Takumi Sasaki dari Jepun.
“Mika dan Takumi sudah mula menunjukkan gandingan yang baik walaupun dalam masa yang singkat.
sumber:-BH
“Saya yakin mereka akan dapat membentuk keserasian yang bagus dengan penyerang tempatan, Hadin Azman, A Selvan dan N Javabilaarivin serta pemain yang lain sebelum kita memulakan cabaran nanti,” tambahnya.