sukan

Pertembungan antra Perancis dan Sepanyol antara paling bernilai dalam sejarah bola sepak dunia

Pertembungan separuh akhir Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol bukan sahaja menemukan dua calon juara, malah turut menyaksikan dua skuad kebangsaan paling bernilai dalam bola sepak dunia.

Berdasarkan penilaian laman Transfermarkt, nilai gabungan kedua-dua skuad dianggarkan mencecah AS$3.21 bilion (kira-kira RM13.09 bilion), dengan Perancis mendahului menerusi nilai AS$1.78 bilion (RM7.25 bilion), manakala Sepanyol bernilai AS$1.43 bilion (RM5.83 bilion).

Aksi separuh akhir itu turut menghimpunkan empat daripada lima pemain paling bernilai di Piala Dunia 2026.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, berada di tangga teratas dengan nilai pasaran AS$234 juta (RM954.6 juta), diikuti penyerang Perancis Kylian Mbappe bernilaiAS$211 juta (RM860 juta).

Rakan sepasukan Mbappe, Michael Olise, dan tonggak tengah Sepanyol, Pedri, masing-masing bernilai AS$176 juta (RM717.9 juta).

Satu-satunya pemain dalam kelompok lima teratas yang tidak beraksi di separuh akhir ialah penyerang Norway, Erling Haaland, yang turut memiliki nilai pasaran AS$234 juta (RM954 juta).

Perancis kini muncul sebagai skuad kebangsaan paling bernilai di dunia dengan nilai keseluruhan AS$1.78 bilion (RM7.26 bilion), diikuti England (AS$1.59 bilion/RM6.48b) ) dan Sepanyol (AS$1.43 bilion/RM5.83b) manakala satu lagi pasukan beraksi di separuh akhir, Argentina, dianggarkan bernilai AS$945 juta (RM3.85 bilion).

Secara keseluruhan, terdapat tujuh pemain daripada kedua-dua pasukan yang mempunyai nilai pasaran sekurang-kurangnya AS$117 juta (RM477 juta).

Sepanyol menyumbang dua nama iaitu Yamal dan Pedri, manakala Perancis memiliki lima pemain dalam kategori itu iaitu Mbappe, Olise, Désiré Doué, William Saliba dan Ousmane Dembele.

Secara keseluruhan, seramai 22 pemain daripada kedua-dua skuad mempunyai nilai pasaran sekurang-kurangnya AS$59 juta (RM240 juta).

Dari segi posisi, Sepanyol memiliki kelebihan di bahagian penjaga gol apabila tiga penjaga golnya mempunyai nilai gabungan AS$113 juta (RM461 juta), berbanding AS$67 juta (RM273 juta) milik Perancis.

Namun, Perancis mengatasi Sepanyol di bahagian pertahanan dengan nilai keseluruhan AS$473 juta (RM2 bilion), berbanding AS$337 juta (RM1.4 bilion).

Di bahagian tengah, Sepanyol mendahului dengan nilai AS$491 juta (RM1.92 bilion), mengatasi Perancis yang bernilai AS$365 juta (RM1.48 bilion).

Jurang paling ketara adalah di jentera serangan apabila pemain-pemain hadapan Perancis dianggarkan bernilai AS$878 juta (RM3.58 bilion), jauh mengatasi nilai serangan Sepanyol yang berjumlah AS$489 juta (RM1.99 bilion) meskipun memiliki pemain paling bernilai dunia, Lamine Yamal.