sukan

Pertembungan menentang ‘perisa Eropah’

KUALA LUMPUR: Aksi persahabatan Tier 1 menentang New Zealand seharusnya memberi dimensi berbeza buat skuad Harimau Malaya selepas kedua-dua pasukan akan berentap di Stadium North Harbour, petang esok.

Mana tidaknya, ‘perisa Eropah’ dimiliki pasukan di ranking ke-95 dunia itu bakal menghadiahkan satu pengalaman berbeza buat pemain skuad kebangsaan yang sebelum ini hanya berpeluang menguji pemain yang kebanyakannya beraksi di liga Asia.

Justeru, New Zealand pasti membawa skuad negara menuju ‘alam’ berbeza terutamanya menerusi kehadiran lima pemain mereka yang beraksi di liga divisyen utama Eropah dan dijangka membarisi kesebelasan utama ‘All Whites’.

Lima pemain terbabit membarisi kesebelasan utama ketika mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Tahiti bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 kelmarin iaitu penyerang Nottingham Forest, Chris Wood yang turut meledak satu gol pada aksi Zon Oceania itu.

Selain itu, tiga pemain tengah masing-masing Ben Old yang beraksi di Ligue 1 bersama Saint Etienne; Matthew Garbett bersama NAC Breda di Eredivisie serta Nikola Stamenic yang mewakili Olympiacos.

Mereka juga memiliki pemain yang beraksi di Serie A iaitu pertahanan kiri, Liberato Cacace yang mewakili Empoli selain pertahanan Minnesota United, Michael Boxall yang beraksi dalam Major League Soccer (MLS).

Melihat kepada senarai pemain ini, mereka berada pada ‘kasta’ berbeza, jadi ini peluang terbaik untuk melihat sejauh mana pemain negara berkembang dan bagaimana mereka dapat bersaing dengan pemain yang memiliki pengalaman beraksi di liga Eropah.

Momentum tiga kemenangan berturut-turut selain kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka perlu menjadi motivasi terbaik untuk mereka membenam cabaran skuad bimbingan Darren Bazeley.

Rekod pertemuan tidak memihak kepada skuad bimbingan Pau Marti Vicente yang menyaksikan mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima pertemuan terakhir dengan skor agregat 3-9, kali terakhir Malaysia menang ke atas New Zealand adalah 25 tahun lalu.

Ketika dua perlawanan diperuntukkan untuk jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi bulan Oktober namun skuad negara hanya mendapat satu aksi Tier 1 sekali gus terlepas peluang mengutip mata ranking FIFA.

Aksi Tier 2 menentang Auckland FC yang berakhir dengan keputusan 1-1 tidak memberikan sebarang mata jadi hanya perlawanan berdepan New Zealand boleh dianggap sebagai satu ‘perjuangan berbaloi’ kerana ada 6.22 untuk diburu.

Mereka sekurang-kurangnya perlu meraih keputusan seri untuk membawa pulang 1.22 mata namun jika tewas, mungkin mereka boleh dianggap sekadar ‘makan angin’ kerana pulang dari Auckland dengan ‘tangan kosong’ selain kehilangan 3.78 mata.

Ranking

Malaysia: 132

New Zealand: 95

Rekod pertemuan Malaysia melawan New Zealand

Menang: 2

Kalah: 8

Seri: 2

16 Nov 1967: Malaysia 2-8 New Zealand (Persahabatan)

30 Okt 1980: Malaysia 2-0 New Zealand (Kejohanan Merdeka)

4 Sep 1981: Malaysia 0-1 New Zealand (Kejohanan Merdeka)

31 Mac 1984: New Zealand 2-0 Malaysia (Persahabatan)

3 Apr 1984: New Zealand 6-1 Malaysia (Persahabatan)

8 Apr 1984: New Zealand 0-0 Malaysia (Persahabatan)

1 Jul 1999: Malaysia 2-1 New Zealand (Persahabatan)

3 Jul 1999: Malaysia 1-5 New Zealand (Persahabatan)

13 Ogos 2000: Malaysia 0-0 New Zealand (Kejohanan Merdeka)

19 Ogos 2000: Malaysia 0-2 New Zealand (Kejohanan Merdeka)

19 Feb 2006: New Zealand 1-0 Malaysia (Persahabatan)

23 Feb 2006: New Zealand 2-1 Malaysia (Persahabatan)

sumber:-BH