sukan

Pesanan Ee Wei kepada pemain muda yang beraksi di Piala Uber

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Toh Ee Wei menitipkan pesanan buat pemain muda negara agar tidak gentar berdepan cabaran di pentas Piala Uber di Horsens, Denmark bermula Jumaat ini hingga 3 Mei ini.

Pemain ranking keempat dunia itu yang bergandingan bersama Chen Tang Jie menegaskan, barisan pemain muda perlu berani dan yakin dengan kemampuan sendiri meskipun bakal berdepan lawan lebih berpengalaman.

“Bagi saya mereka perlu berjuang habis-habisan untuk negara. Jangan rasa tertekan, sebaliknya yakin dengan diri sendiri.

“Lawan saja, tidak kira siapa pun pihak lawan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Ee Wei yang belum pernah beraksi di Piala Uber berkata, dia tidak terkilan namanya tiada untuk beraksi di kejohanan berprestij itu, malah menghormati keputusan memberi ruang kepada pemain lain.

“Biasanya kami (beregu campuran) akan bermain di Piala Sudirman. Untuk Piala Uber, sudah ada pemain yang disenaraikan.

Saya tidak mahu mengganggu kerana ada pemain remaja yang perlu diberikan peluang dan mereka memerlukan pendedahan di pentas besar. Ini peluang untuk mereka merasai intensiti permainan yang tinggi. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.

Skuad wanita negara kali ini menyaksikan kehadiran ramai pemain muda dengan M Thinaah muncul sebagai pemain paling senior dalam pasukan.

Thinaah akan bergandingan bersama Chong Jie Yu selepas rakan gandingannya, Pearly Tan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang.

Selain itu, turut tersenarai pasangan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.

Barisan perseorangan wanita pula dibarisi K Letshanaa bersama Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.