sukan

Pestabola Merdeka sebagai platform terbaik untuk Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 , tumpuan skuad Harimau Malaya kini beralih kepada perancangan aksi antarabangsa dalam jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September ini.

Ini termasuk kemungkinan akan mengadakan siri perlawanan penting seperti membabitkan Pestabola Merdeka.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak menolak kemungkinan menjadikan kejohanan berprestij itu sebagai platform terbaik untuk membina momentum skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Asia pada Oktober dan November nanti.

Bagi jurulatih kelahiran Australia itu, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pasukan beraksi dalam perlawanan berkualiti dan kompetitif agar dapat terus mengukuhkan corak permainan serta membina identiti skuad kebangsaan.

“Saya tidak akan menolaknya (Pestabola Merdeka). Saya rasa itu satu pilihan. Sekali lagi, yang lebih penting ialah siapa yang boleh kami lawan, siapa boleh kami cabar.

“Jika itu, saya rasa dalam masa singkat kami akan dapat mengesahkan sesuatu,” katanya.

Menurutnya, unit kejurulatihan kini sedang dalam fasa perancangan dan belum boleh mengumumkan sebarang pengesahan rasmi mengenai lawan mahupun format perlawanan antarabangsa untuk jendela FIFA akan datang.

“Ya, jadi September, kami dalam ‘mod’ perancangan dari segi mengesahkan sesuatu perlawanan, jadi tiada apa yang boleh saya cadangkan sekarang.

“Tetapi kami akan cuba menentang lawan terbaik yang kami boleh.

“Kami mahu September membolehkan pasukan kebangsaan membina identiti kami sebagai pasukan kebangsaan, terus membina gaya permainan kami dan diharapkan dapat terus membuat rakyat Malaysia bangga dan teruja setiap kali kami bermain,” katanya.

Sekiranya Pestabola Merdeka kembali dipertandingkan, ia bakal menjadi edisi ketiga selepas ia dihidupkan semula dua tahun lalu.

Penganjuran semula Pestabola Merdeka dilihat alternatif ideal selepas Harimau Malaya terpaksa melupakan saingan CAFA 2025 disebabkan dua aksi awal berlangsung di luar jendela FIFA serta kesukaran mendapatkan pemain utama dari luar negara.

Setakat ini, pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mengesahkan sama ada Pestabola Merdeka akan dianjurkan semula tahun ini, namun kenyataan Cklamovski memberi isyarat jelas ia masih berada dalam perbincangan.

sumber:- HM

Apa yang pasti, peminat Harimau Malaya kini mengharapkan aksi bermutu tinggi di laman sendiri untuk mengekalkan momentum dan sokongan sebelum memasuki fasa getir kelayakan Piala Dunia yang semakin hampir.