Kuala Lumpur: “Tidak perlu fikirkan perkara jika, jika, jika, jika, jika…kerana ia membuang masa. Perkara itu bukan di bawah kawalan kita, sebaliknya kita mahu kekalkan mentaliti pasukan.”
Demikian kata pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang enggan terlalu memikirkan mengenai hukuman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain skuad negara yang digantung badan induk dunia itu.
Biarpun jawapan jurulatih kelahiran Australia itu tampak tenang, namun beliau kelihatan cukup serius dengan mahu semua pihak agar tidak terlalu menekan anak buahnya dengan isu di luar padang itu.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya kemungkinan berpotensi berdepan pemotongan mata dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 meskipun beraksi cemerlang apabila berjaya mengekalkan rekod bersih dalam empat aksi dilalui tanpa kekalahan.
Begitupun, enam mata dijangka bakal ditolak babitkan perlawanan menentang Nepal dan Vietnam di mana tujuh pemain yang digantung itu turut beraksi dalam perlawanan terbabit.
“Pada masa ini, kami tidak pasti apakah yang akan berlaku. Sebagai seorang jurulatih, saya mahu menjaga suasana pasukan dengan sebaiknya termasuk mentaliti pasukan agar tidak terganggu.
“Jadi saya lebih mahu memberi fokus pada apa yang boleh kami kawal (menang dalam setiap perlawanan) dan itulah perkara yang perlu saya pastikan dalam pasukan.
“Mentaliti kami adalah untuk membina sebuah pasukan yang kuat. Apa yang akan berlaku kemudian, biarkan ia berlaku dan kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas aksi menentang Laos, malam tadi.
Dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi, Malaysia berjaya bangkit pada babak kedua untuk membelasah Laos 5-1.
Lima gol skuad negara diraih menerusi dua jaringan Romel Morales, Faisal Halim, Paulo Josue dan gol sendiri Khammanh Thapaseut, manakala gol saguhati pelawat pula disumbangkan Chanthavixay Khounthoumphone.
Jelas Cklamovski lagi, beliau tetap memasang impian untuk melihat skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti walaupun berdepan 1000 rintangan.
“Impian kami masih hidup dan kami hanya perlu berfokus pada apa yang kami boleh kawal. Pemain beraksi baik sepanjang kempen dengan sikap profesionalisme dan komitmen yang tinggi setiap kali latihan pusat diadakan.
“Hal-hal di luar padang yang kami tidak mampu kawal perlu ditolak sejauh-jauhnya dan kami mahu fokus perkara yang berlaku di dalam padang sahaja.
“Pada masa ini, kami di atas kumpulan. Mari kita raikannya dan kita beri sokongan sepenuhnya kepada pasukan,” katanya.
Selepas ini skuad negara akan bertemu Nepal yang dijadual berlangsung bulan depan sebelum menutup aksi peringkat kumpulan dengan menentang Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.