Harimau Malaya tempang menjelang perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia Isnin ini, apabila kehilangan dua pemain utama.
Laporan semalam mengatakan ketua pasukan, Dion Cools, terpaksa pulang awal susulan pemain berusia 30 tahun itu mempunyai urusan peribadi yang perlu diselesaikan dengan segera.
Perkara itu turut disahkan oleh jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, dalam satu video perkembangan pasukan oleh Malaysia NT.
Dalam masa sama, bintang Selangor, Faisal Halim, juga harus melupakan aksi terakhir itu ekoran kakinya mengalami kecederaan serius sehingga memerlukan bantuan kerusi roda.
Terdahulu, Faisal tidak diturunkan bertemu Singapura, sekali gus memberi peluang buat Fergus Tierney bermula sebagai kesebelasan utama semalam.
Dalam tiga pertemuan lalu bertemu Vietnam, skuad kebangsaan tewas ketika Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac lalu serta kalah dua aksi timbal balik separuh akhir Piala Hyundai ASEAN.
Dan, kedua-dua pasukan itu akan berdepan buat kali keempat tahun ini bagi perebutan pingat gangsa edisi sulung itu.